MatYo sedang dirisik Harini FT, bakal jadi bintang seterusnya warnai Liga M3
Bekas penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih mesra dikenali sebagai MatYo dikhabarkan sedang dirisik oleh kelab Liga M3, Harini FT bagi memperkuatkan pasukan tersebut musim depan.
Musim ini, MatYo telah membantu pasukan Melaka United untuk mengharungi saingan Liga Malaysia selepas dibawa masuk daripada Sarawak United pada Februari lalu.
Beliau telah beraksi sebanyak 12 perlawanan dan mengumpulkan satu bantuan jaringan yang berjaya dicatatkan pada perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC yang berkesudahan dengan kemenangan 2-1 berpihak kepada Melaka United pada 6 Mei.
Dengan insiden penggantungan lesen yang dihadapi oleh Melaka United ekoran daripada masalah tunggakan gaji, MatYo dijangka akan meninggalkan pasukan tersebut yang tidak akan beraksi pada saingan Liga Super musim depan.
Pemain berusia 36 tahun ini cukup terkenal dengan kawalan bolanya yang berkualiti serta ketajamannya di hadapan gawang lawan.
Nama MatYo tidak asing dalam saingan bola sepak tempatan selepas beliau berjaya memberi impak yang cukup besar ketika beraksi bersama beberapa kelab ternama seperti Kelantan FA, Johor Darul Ta’zim dan ATM satu ketika dulu.
Beliau pernah mendominasi kategori Pemain Paling Bernilai (MVP) pada saingan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) sebanyak tiga kali berturut-turut bermula tahun 2010 sehingga 2012.
Tambahan pula, beliau merupakan salah seorang pemain utama yang menjadi nadi kepada kejayaan pasukan Kelantan FA meraih beberapa gelaran seperti Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA sepanjang beraksi bersama pasukan tersebut dari tahun 2010 hingga 2013.
Beliau juga merupakan antara penyerang berbisa yang pernah membantu pasukan negara cemerlang di peringkat Asia Tenggara termasuk ketika berhasil merangkul pingat emas Sukan SEA 2009 serta menjuarai saingan Piala AFF 2010 di bawah kendalian Datuk K. Rajagopal ketika itu.
Nampaknya Harini FT terus rancak dalam mempersiapkan sebuah pasukan yang lebih mantap bagi menebus semula kehampaan mereka terkandas di pusingan suku akhir musim ini.
Kehadiran MatYo pada saingan Liga M3 musim hadapan semestinya akan membantu Harini FT untuk mengekalkan momentum kecemerlangan serta melangkah lebih jauh.
Pengalamannya beraksi di Liga Thailand bersama BG Pathum United pada tahun 2020 mampu memberi kelebihan yang besar dalam memberi tunjuk ajar kepada pemain pasukan Harini FT lain yang masih muda dan berstatus amatur.
Terdahulu, mereka dikhabarkan sedang melalui proses akhir bagi mendapatkan khidmat bekas pengendali PJ City, P Maniam yang telah dilepaskan pasukan.
Pada masa yang sama, Harini FT juga dikatakan sedang dalam perbincangan mendapatkan beberapa lagi nama besar termasuk bekas anak buah P Maniam di PJ City, Khyril Muhymeen yang kini berusia 35 tahun.