FAM mahu dominasi ASEAN 2023 realistik atau hanya ‘angan-angan mat jenin’?

221

Pada Oktober 2018, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melancarkan peta hala tuju (roadmap) F:30 yang mendapat kritikan daripada peminat apabila meletakkan sasaran yang dilihat terlalu tinggi untuk dicapai.

Jadi selepas tiga tahun ia dilancarkan, apa yang sudah pasukan bola sepak Malaysia berjaya capai? Berdasarkan misi pembangunan bola sepak, FAM telah menggariskan tujuh sasaran strategik antaranya untuk mendominasi rantau Persekutuan Bola Sepak ASEAN menjelang 2023, dengan misi pasukan lawan gentar untuk berdepan Malaysia.


Melihat prestasi skuad Harimau Malaya ketika saingan Piala AFF baru-baru ini, rasanya sasaran untuk mendominasi Asia Tenggara umpama sudah terkubur selepas skuad kendalian Tan Cheng Hoe dimalukan Indonesia 1-4 dan tersingkir dalam peringkat kumpulan.

Bagaimana mahu jadikan Harimau Malaya sebuah pasukan yang digeruni sekiranya prestasi skuad kebangsaan sendiri tidak stabil dan sentiasa berdepan konflik dalaman. Ia telah menjadi antara salah satu faktor yang menyumbang kepada kemerosotan skuad negara.

Sumber foto: FAM

Bukan itu sahaja, FAM turut meletak sasaran mahu menjadi pencabar utama pasukan gergasi Asia menjelang 2026 dan menduduki dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia pada tahun yang sama.

Melihat situasi kini yang mana Malaysia berada pada kedudukan 154 dunia, agak sukar untuk pasukan kebangsaan mencapai sasaran tersebut, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

Sekiranya segala percaturan dilakukan dengan baik dan tiada ‘tangan ghaib’ yang mencampuri urusan pasukan, Malaysia mampu menjadi pencabar utama di rantau Asia Tenggara ini.

Bukan itu sahaja, FAM turut meletak sasaran untuk berada pada kedudukan 70 pasukan terbaik menjelang 2030.

Kesungguhan FAM untuk cuba mengubah landskap bola sepak negara agar kembali disegani sepertimana dikecapi ketika era 1989an sememangnya harus dipuji, tetapi rata-rata peminat melihat sasaran itu tampak terlalu tinggi dan sukar untuk dicapai.

FAM turut meletakkan sasaran tinggi untuk skuad lelaki negara dan salah satu sasaran tersebut telah pun gagal iaitu layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Bagaimanapun Malaysia masih berpeluang untuk mara ke pusingan akhir Piala AFC 2023 apabila kita berjaya mara ke kelayakan pusingan ketiga.

Selain itu, FAM turut meletakkan sasaran untuk pasukan bawah 17, 19 dan 20 tahun untuk layak ke Piala Dunia FIFA, manakala bawah 15 menang AFF 2021.

Walaupun beberapa sasaran yang diletakkan tampak agak sukar untuk dikecapi, tetapi ia bukan alasan untuk FAM tidak cuba sedaya upaya untuk cuba menjadikan sasaran asal menjadi realiti, kerana jika tiada satu pun sasaran yang berjaya dicapai bermakna ‘roadmap’ FAM ini hanya sekadar ‘omong kosong’.