Khuzaimi Piee lihat ketiadaan Dion Cools beri peluang cipta gandingan baru, tiada masalah bina keserasian

498

Pemain skuad kebangsaan, Khuzaimi Piee mengakui bahawa bahagian pertahanan negara tidak terkesan dengan ketiadaan Dion Cools yang masih belum menyertai kem latihan ketika ini.

Malah, beliau menganggap bahawa ini akan jadi peluang terbaik buat ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk mencuba seberapa banyak gandingan pemain sebelum melakukan keputusan akhir menjelang Piala AFF 2022.


“Kita boleh lihat dengan ketiadan Cools ketika ini kita berjaya temui pasangan baru dalam setiap perlawanan.

Itu tidak menjadi masalah bagi saya dan pemain lain sebab sebelum ini kita sudah berlatih bersama, ia tidak akan mengambil masa lama untuk kami kembali serasi di dalam padang,”

katanya kepada media.

Cools yang kini beraksi bersama FK Jablonec dilihat tidak akan menyertai pasukan pada aksi pemanas badan bertemu Maldives yang dijadual berlangsung pada esok hari (14 Disember).

Dalam pada itu, Khuzaimi harap kesemua pemain dapat terus mengekalkan rentak kecemerlangan ketika menang besar ke atas Kemboja 4-0 pada aksi yang lepas.

Beliau percaya kesemua pemain yang bakal diberikan peluang mampu untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan serta dapat memberi impak yang besar kepada keseluruhan persembahan skuad Harimau Malaya.

“Bagi saya, perlawanan esok adalah salah sebuah aksi yang mencabar untuk kita.

Saya harap apa yang Coach Kim cuba terapkan kepada semua pemain dapat diterjemahkan melalui persembahan baik dan komitmen atas padang.”

Ketenangan Khuzaimi mengawal bahagian pertahanan akan terus ditagih Pan-gon bagi membantu menyokong ahli pasukan yang lain terutama sekali pemain muda seperti Sharul Nazeem, V Ruventhiran dan Quentin Cheng.