Sri Pahang terlepas Ilhan Fandi, sah ke Belgium bersama KMSK Deinze

715

Peminat Sri Pahang FC tidak berpeluang untuk melihat anak kepada Penasihat Teknikal, Fandi Ahmad beraksi bersama pasukan tersebut musim depan.

Ini kerana penyerang muda, Ilhan Fandi telah sah menandatangani kontrak setahun setengah bersama kelab divisyen kedua Belgium, KSMK Deinze bermula Januari depan.


Sebelum ini, wujud khabar angin yang mengaitkan kemungkinan Fandi akan membawa anaknya untuk memperkuat Sri Pahang.

Perpindahan ini tidak mengejutkan peminat bola sepak Singapura tatkala Ilhan telah mempamerkan persembahan yang cukup memukau sepanjang beraksi bersama Albirex Niigata Singapore musim ini.

Daripada 21 perlawanan liga, Ilhan berjaya menjaringkan 17 gol dan menghasilkan tiga bantuan jaringan.

Pencapaian ini membolehkan beliau merangkul tiga anugerah baru-baru ini iaitu Pemain Muda Tahunan Singapore Premiere League (SPL), Gol Terbaik dan tersenarai dalam kesebelasan utama pilihan SPL musim ini.

Momentum tersebut juga diteruskan dalam saingan Piala Singapura di mana Ilhan berjaya membantu pasukannya meraih tempat ketiga.

Beliau menjaringkan dua gol penting sewaktu kelabnya berjaya menewaskan Balestier Khalsa pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

Malah, berdasarkan aksinya di atas padang, beliau dilihat mempunyai potensi besar untuk menyinar lebih jauh berbanding dua abangnya iaitu Irfan Fandi dan Ikhsan Fandi yang kini beraksi di Liga Thailand bersama BG Pathum United.

Di Belgium, Ilhan bakal disenaraikan di dalam skuad utama pasukan tersebut bagi menghadapi saingan liga.

Dengan umurnya yang baru saja mencecah 20 tahun, beliau juga layak untuk beraksi bagi pasukan B-21 kelab tersebut.

Tidak mustahil dengan peluang mengembangkan karier di Eropah, Ilhan akan terus berjaya membuktikan kemampuan sebenarnya dalam masa terdekat.

Ilhan kini sedang menjalani latihan persiapan bersama skuad kebangsaan Singapura di Jepun bagi menghadapi saingan Piala AFF tahun ini.

Singapura telah diundi bersama pasukan negara di dalam Kumpulan B dan dijadual bertemu pada 3 Januari 2023.

Mereka akan mengadakan satu perlawanan persahabatan bertemu Maldives sebagai aksi pemanas badan terakhir sebelum menghadapi perlawanan pertama peringkat kumpulan pada 24 Disember ini bertemu Myanmar.