SPRM akui amalan rasuah dalam sukan wujud, lebih baik pihak KBS, badan sukan duduk berbincang daripada bertelagah

1,180

Selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan baru-baru ini, Adam Adli mencetuskan kontroversi selepas menyuarakan mengenai amalan rasuah dalam badan sukan di negara ini.

Beliau berkata pada sidang media pertamanya bahawa perkara itu harus ditangani supaya atlet dapat menonjolkan potensi sebenar mereka.


Perkara itu bagaimanapun tidak disenangi oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria yang menganggap dakwaan itu tidak mempunyai justifikasi dan tidak disokong oleh sebarang bukti.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt juga turut mempersoalkan kenyataan Adam yang disifatkan sebagai populis.

Namun mungkin mereka semua terlepas pandang bahawa sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri pernah mendedahkan bahawa terdapat aktiviti rasuah dalam industri sukan di negara ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor yang menyuarakan perkara itu dengan berkata bahawa ada pihak yang tamak dan mahu cara mudah mendapatkan wang, menyebabkan berlaku penyelewengan dana.

Mungkin kenyataan yang dikeluarkan oleh Adam itu tidak berasaskan kes tertentu dan hanya bersifat umum supaya pemain industri peka akan amalan rasuah.

Pihak yang merasakan mereka tidak terlibat dalam rasuah tidak perlulah ‘melatah’ dengan kenyataan tersebut.

Kenyataan yang dilakukan itu boleh dianggap sebagai peringatan supaya amalan rasuah dapat dibanteras secara keseluruhan dalam industry sukan negara ini.

Namun, apa yang disuarakan Norza itu ada juga asasnya kerana tanpa bukti yang kukuh, dakwaan tersebut hanyalah satu tuduhan yang tidak berasas.

Sekiranya benar apa yang dikatakan itu, beliau seharusnya mengambil tindakan undang-undang dengan melaporkan kepada pihak polis atau SPRM.

Dengan jawatan dan kuasa yang ada sekarang, lebih mudah untuknya memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan sekiranya berlaku sebarang salah laku.

Pihak-pihak yang terlibat dalam badan-badan sukan juga harus memberi kerjasama penuh dalam membanteras amalan rasuah dalam arena sukan negara.

Daripada berkelahi, lebih baik kedua-dua pihak mengadakan pertemuan untuk membincangkan mengenai isu ini bagi memastikan arena sukan tempatan menjadi lebih bersih dan maju.