‘The class of GOAT’! Messi terus jadi inspirasi buat Argentina sebagai pilihan untuk julang Piala Dunia ketiga

341

Pasukan pilihan Argentina menepati ramalan apabila berjaya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar apabila berjaya menewaskan Croatia 3-0 dalam perlawanan separuh akhir sebentar tadi.

Croatia lebih garang apabila mendominasi sepanjang tempoh 90 minit perlawanan dengan mempunyai lebih 60% kawalan bola tetapi tumpul di bahagian serangan apabila setiap serangan mereka mudah dipatahkan barisan pertahanan lawan.


Argentina terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-34′ yang disempurnakan oleh Lionel Messi.

Lima minit kemudian Argentina menambah jaringan menerusi Julian Alvarez pada minit ke-39′ sebelum menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan selesa 2-0.

Masuk separuh masa kedua, Croatia cuba bangkit apabila terus cuba melakukan serangan tetapi tetap buntu untuk membolosi barisan pertahanan lawan selain Emiliano Martinez mempamerkan aksi cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan.

La Albiceleste kemudian telah menjaringkan gol ketiga mereka pada minit ke-69′ yang sekali lagi dijaringkan oleh Alvarez untuk membunuh baki sisa perjuangan skuad The Checkered One.

Berdasarkan statistik, Croatia mempunyai lebih banyak percubaan iaitu 12 percubaan dengan hanya dua percubaan tepat, manakala Argentina pula melakukan 10 percubaan dengan tujuh percubaan tepat dimana tiga daripadanya menghasilkan gol.

Melihat kepada jumlah hantaran pula jelas memperlihatkan anak buah Zlatko Dalic menguasai apabila melakukan sejumlah 628 hantaran, manakala skuad kendalian Lionel Scaloni pula hanya melakukan 410 hantaran.

Ternyata, penguasaan bola tidak menjamin sesebuah pasukan itu akan menang sebaliknya menggunakan peluang yang ada dengan baik dan efisyen akan menjadi penentu kepada kejayaan pasukan.

Malam gemilang Argentina tidak terhenti di situ sahaja kerana bintang sensasi mereka Messi a.k.a GOAT (Greatest Of All Time) telah berjaya memecah rekod 10 gol yang dijaringkan Gabriel Batistuta sebagai penjaring terbanyak Argentina sepanjang zaman apabila beliau kini sudah menjaringkan 11 gol.

Sebelum kempen Piala Dunia bermula, Messi berada di belakang idolanya Diego Maradona yang memegang rekod dengan lapan jaringan, namun dengan aksi yang cukup memukau sepanjang kempen kali ini beliau bukan sahaja berjaya mengatasi rekod idolanya, tetapi juga menjadi penjaring terbanyak pasukan sepanjang zaman.

Messi menjaringkan 11 gol dalam 25 penampilannya; Gabriel Batistuta 10 gol dalam 12 penampilan; Guillermo Stabile 8 gol dalam 4 penampilan; Diego Maradona 8 gol dalam 21 penampilan dan Mario Kempes 6 gol dalam 18 penampilan.

Penampilannya pada perlawanan sebentar tadi juga menyaksikan beliau kini menyamai rekod pemain German, Lothar Matthaus sebagai pemain lelaki paling banyak penampilan di Piala Dunia sebanyak 25 kali.

Memandangkan beliau sudah pasti akan diturunkan pada perlawanan akhir nanti, Messi akan memecah rekod baru sebagai pemain lelaki paling banyak penampilan di Piala Dunia sebanyak 26 kali.

Dalam pada itu, Messi juga kini sedang dalam persaingan untuk merebut trofi Kasut Emas apabila sudah menjaringkan lima gol sepanjang kempen Piala Dunia kali ini yang mana jumlah gol sama dengan pemain France, Kylian Mbappe.

Selain itu, beliau juga sudah pun memecah rekod bantuan gol terbanyak dalam peringkat kalah dengan menyumbang lima bantuan gol sebelum perlawanan menentang Croatia, dan ini juga menyaksikan beliau sudah menyumbang lapan bantuan gol sepanjang beraksi di Piala Dunia, kurang dua bantuan gol di belakang pemegang rekod ketika ini iaitu Pele.

Biarpun sudah berusia 35 tahun, Messi bagaimanapun tampak cemerlang bersama pasukan kebangsaan di Qatar ketika ini apabila sudah menyumbang tujuh daripada 11 gol dengan menjaringkan lima gol dan dua bantuan gol.

Messi membuka akaun jaringan di Piala Dunia menerusi sepakan penalti ketika perlawanan pertama menentang Saudi Arabia yang mana ketika itu mereka kalah. Pada perlawanan kedua menentang Mexico beliau sekali lagi menjaringkan gol.

Bekas pemain Barcelona itu bagaimanapun tidak menjaringkan gol ketika mereka menang 2-0 menentang Poland walaupun beliau mempunyai peluang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti tetapi diselamatkan penjaga gol. Beliau kembali menjaringkan gol ketika menentang Australia pada Pusingan 16 dan sekali lagi ketika menentang Netherlands.

Ini merupakan kali keenam Argentina berjaya ke perlawanan akhir yang mana mereka belum pernah tewas pada peringkat separuh akhir. Messi kini selangkah lagi untuk mengulangi kejayaan Diego Maradona pada tahun 1986.

Terdahulu, Argentina telah berjaya menang dua kali Piala Dunia iaitu pada tahun 1978 dan 1986 serta menjadi naib juara sebanyak tiga kali pada 1930, 1990 dan 2014.

Pada tahun 2010, Spain juga tewas pada perlawanan pembukaan tetapi akhirnya berjaya julang Piala Dunia, dan mungkin Argentina akan menjadi pasukan kedua dalam sejarah berjaya melakukannya.

Untuk Croatia pula, mereka gagal untuk mengulangi pencapaian mereka layak ke perlawanan akhir seperti di Russia pada tahun 2018 di mana mereka tewas kepada France.

Croatia telah membuat penampilan di Piala Dunia sebanyak enam kali iaitu pada 1998, 2002, 2006, 2014, 2018 dan 2022 sejak mencapai kemerdekaan pada 1991. Sebelum itu, dari tahun 1930 hingga 1990, mereka adalah sebahagian daripada Yugoslavia.

Pencapaian terbaik mereka setakat ini adalah sebagai naib juara pada Piala Dunia 2018 yang mana mereka tewas 4-2 kepada France.

Sementara itu, Argentina kini menanti keputusan satu lagi perlawanan separuh akhir untuk menentukan pasukan mana yang akan bertemu dengan mereka samada France atau pun Morocco.

Melihat pada rekod terdahulu menentang France, mereka pernah bertemu sebanyak 12 kali dengan Argentina berjaya menang enam kali, seri tiga kali dan tewas tiga kali. Namun pertemuan terakhir mereka adalah di Piala Dunia 2018 yang mana ketika itu mereka tewas 4-3.

Manakala menentang Morocco pula, mereka pernah bertemu sebanyak tiga kali dengan ketiga-tiga perlawanan itu dimenangi oleh Argentina.