Faiq Bolkiah dapat ‘talian hayat’ kedua sertai Chonburi FC
Pemain bola sepak Faiq Bolkiah yang juga merupakan anak saudara Sultan Brunei merupakan antara contoh individu yang tak kenal erti putus asa apabila beliau terus berusaha mencari peluang untuk bermain bola sepak di peringkat tertinggi.
Walaupun mempunyai nilai kekayaan lebih RM73 billion yang mana beliau boleh sahaja membeli mana-mana kelab bola sepak yang dimahukannya, namun minat yang mendalam terhadap dunia bola sepak membuatkan terus berusaha dan akhirnya membuahkan hasil apabila beliau kini menjadi milik pasukan Chonburi FC dari Thailand.
Terdahulu, pemain berusia 23 tahun ini yang merupakan kapten pasukan kebangsaan Brunei dilepaskan oleh kelabnya di Portugal iaitu C.S. Maritimo B awal tanpa sebarang penampilan bersama skuad utama.
Walaupun perpindahannya ke sebuah kelab besar di liga Thailand mengundang spekulasi bahawa kelab tersebut menandatangani Faiq kerana kekayaannya, namun pemilik Chonburi, Sasit Singtothong menafikan perkara tersebut dan berkata pemilihan Faiq adalah berdasarkan kualitinya.
Faiq memulakan karier bola sepaknya di England apabila menyertai pasukan A.F.C Newbury pada tahun 2008 hingga 2009.
Bagaimanapun dia kemudian berhijrah ke Southampton pada tahun 2009 hingga 2011. Namun Namanya menjadi perhatian ramai apabila beliau menyertai pasukan Chelsea pada tahun 2014 hingga 2015.
Selepas setahun tanpa kelab, beliau kemudian telah menandatangani kontrak bersama Leicester City selama empat tahun sebelum berpindah ke Maritimo B.
Faiq juga merupakan tonggak utama skuad kebangsaan Brunei sejak 2013 telah membuat 28 penampilan dan menjaringkan tiga gol.
Sudah pasti ramai yang akan menantikan kemunculan Faiq bersama Chonburi, namun ramai yang tertanya-tanya samada beliau akan mendapat tempat dalam skuad utama atau tidak. Sama-sama kita tunggu dan lihat.