Harga tiket Piala AFF: Antara ‘suara penyokong suara keramat’, keprihatinan Hamidin dan kepimpinan Hannah Yeoh

652

Setelah dikecam akibat harga tiket Piala AFF yang dianggap mahal, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya ‘membuang’ lagi harga tiket untuk menyaksikan kejohanan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Semalam, FAM telah mengumumkan tiket untuk kategori Terbuka diturunkan daripada RM50 kepada RM45, Premium daripada RM70 kepada RM60, dan Grandstand daripada RM100 kepada RM70, manakala tiada pengurangan untuk tiket kanak-kanak yang berharga RM10.


Walaubagaimanapun, majoriti penyokong masih tidak berpuas hati kerana ia hanya diturunkan sedikit sahaja dan masih dianggap mahal

Hari ini pula, FAM sekali lagi mengumumkan harga baru tiket iaitu RM30 untuk Terbuka, RM50 untuk Premium, RM60 untuk Grandstand dan RM5 untuk kanak-kanak.

Perkara itu jelas mendapat reaksi positif daripada rata-rata penyokong yang berterima kasih kepada FAM atas keprihatinan pihaknya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau faham akan keadaan ekonomi semasa yang masih tidak stabil dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan penyokong dapat hadir beramai-ramai memberi sokongan padu kepada Harimau Malaya.

Tindakan FAM yang dua kali menurunkan harga tiket membuktikan bahawa badan induk bola sepak negara itu mendengar dan menghargai suara penyokong yang sentiasa bersama pasukan negara ketika jatuh dan bangun.

Sebagai tulang belakang yang sering ada dengan pasukan kebangsaan, suara penyokong adalah suara keramat, dan apa yang diluahkan pastinya untuk kebaikan pasukan negara.

Justeru, selepas ini orang ramai digalakkan meluahkan pendapat mereka mengenai bola sepak negara, terutama melibatkan hak penyokong.

Kredit juga harus diberikan kepada Hamidin yang menunjukkan sikap prihatin terhadap apa yang disuarakan oleh penyokong walaupun hanya di sosial media.

Beliau menunjukkan bahawa sebagai orang nombor satu di FAM, beliau bukan sahaja bekerja untuk memastikan badan itu serta pasukan negara bergerak ke hadapan, tetapi juga berkhidmat untuk para penyokong.

Tidak dilupakan juga peranan Menteri Belia dan Sukan yang baru, Hannah Yeoh yang turut menyuarakan mengenai harga tiket tersebut.

Selepas FAM mengumumkan penurunan harga pertama semalam, beliau memohon FAM sekali lagi mempertimbangkan untuk mengurangkan lagi harga supaya meningkatkan kehadiran penyokong dan mempromosikan budaya sukan negara.

Walaupun masih baru untuk menilai tugasnya di KBS, apa yang dilakukannya itu memberi satu gambaran yang positif dan menunjukkan beliau peka dengan suara penyokong.

Diharapkan, isu harga tiket Piala AFF ini dapat menjadi satu titik kerjasama yang baik dan erat antara KBS dan juga FAM dalam meningkatkan tahap bola sepak negara.