Malaysia pasukan yang kuat dengan pemain hebat, saya tetap gembira dengan persembahan pasukan – Francesco Moriero

378

Ketua jurulatih Maldives, Francesco Moriero tetap gembira dengan persembahan anak buahnya walaupun tewas 3-0 kepada Malaysia dalam perlawanan persahabatan sebentar tadi.

Menurutnya, Malaysia adalah pasukan yang kuat dan kesilapan yang dilakukan oleh pasukannya menjadi perbezaan antara kedua-dua pasukan.


“Saya gembira kerana ia satu perlawanan yang baik buat anak buah saya, mereka bermain dengan intensiti yang tinggi serta berdisiplin dan mengikut taktikal yang diberikan menentang pemain-pemain yang hebat.

Kami mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak memanfaatkan peluang berkenaan,”

katanya.

Moriero menganggap anak buahnya dapat memberi saingan yang baik walaupun ramai pemain muda dalam skuad.

Katanya, agak sukar untuk beliau menyediakan pasukan memandangkan persiapan yang singkat memandangkan musim liga di negara itu sudah lama tamat.

“Malaysia mempunyai perlawanan kompetitif yang kerap berbanding kami, mereka juga mempunyai skuad yang kuat.

Bagi saya apa yang penting adalah persembahan yang ditunjukkan oleh pasukan saya pada hari ini.”

Beliau berkata, selepas ini mereka akan terus berangkat ke Singapura untuk satu lagi perlawanan persahabatan.

Menurutnya, seperti Malaysia, Singapura juga adalah satu pasukan yang kuat dan satu ujian yang baik buat mereka.