Skuad kali ini berbeza dengan skuad dahulu, tetapi bukan lebih lemah – Darren Lok
Penyerang kebangsaan, Darren Lok mengakui terdapat perbezaan antara pasukan kebangsaan ketika ini yang dibarisi muka baru berbanding skuad sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak terdapat perbezaan dari segi kekuatan pasukan dan percaya setiap pemain yang berada dalam skuad kali ini mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan.
“Sudah tentu ada perbezaan antara skuad kali ini dan dahulu tetapi saya tak rasa skuad kali ini lebih lemah atau kuat daripada sebelum ini.
Kami ada skuad yang kuat, semua pemain menunjukkan permaianan yang baik dan saya rasa dua perlawanan persahabatan ini menunjukkan kekuatan pasukan,”
katanya.
Beliau percaya ketua jurulatih, Kim Pan-gon telah memilih barisan pemain yang difikirkan mampu membantu pasukan dalam kejohanan Piala AFF nanti.
Menurut Darren, beliau masih mahu memperbaiki lagi beberapa aspek permainannya dan berharap mampu menjaringkan gol sebanyak mungkin untuk pasukan.
“Saya tahu ada beberapa perkara yang perlu saya perbaiki, saya gembira dapat jaringkan gol hari ini tetapi saya akan usaha lagi untuk jaringkan lebih gol selepas ini.
Selagi saya dapat bantu pasukan dalam setiap aspek, saya tetap gembira.”
Beliau berkata, kemenangan ke atas Maldives sebentar tadi adalah penting untuk mendapatkan momentum kemenangan menjelang Piala AFF minggu depan.
Dalam pada itu, pemain tengah, Aliff Haiqal menganggap debutnya bersama pasukan kebangsaan adalah satu permulaan yang baik untuknya.
Menurutnya, dengan persembahan yang baik dalam dua perlawanan persahabatan ini, beliau percaya Malaysia sudah bersedia untuk ke Piala AFF.
“Saya bersyukur kerana debut berakhir dengan keputusan yang baik, dalam dua perlawanan ini pun kami catatkan dua kemenangan ditambah dengan clean sheet serta tujuh gol.
Bagi saya ia adalah persembahan yang baik daripada seluruh pemain, jadi saya harapkan yang terbaik untuk Piala AFF nanti.”
Beliau bertekad mahu memberikan lebih lagi sekiranya mendapat peluang mewakili negara selepas ini.