Walaupun impian Morocco sudah berakhir tapi tiada apa yang perlu dimalukan, France kini sasar julang Piala Dunia dua kali berturut-turut

481

France telah mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Dunia 2022 Qatar apabila berjaya menewaskan Morocco 2-0 dalam perlawanan separuh akhir sebentar tadi.

Disebalik menguasai hampir keseluruhan perlawanan pada separuh masa kedua, kekalahan Morocco tampak kejam buat mereka, tetapi pencapaian yang mereka telah perolehi membuatkan tiada apa yang mereka perlu malu.


Pencapaian terbaik Morocco di pentas Piala Dunia pada edisi kali ini telah mencipta sejarah baru buat pasukan dari Afrika, Arab dan Muslim di seluruh dunia.

Perlawanan berlangsung dengan cukup sengit sekali apabila Morocco tidak menunggu lama untuk menguasai permainan dan melakukan serangan demi serangan tetapi gagal memecah kebuntuan, sebaliknya France terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-5′ menerusi Theo Hernandez.

Separuh masa kedua Morocco terus mengasak ke kubu lawan namun ketumpulan di bahagian serangan menyebabkan banyak peluang disia-siakan dan akhirnya mereka dihukum menerusi satu serangan balas pantas dan Randal Kolo Muani menjaringkan gol pada minit ke-79′ untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.

Melihat kepada statistik perlawanan, ini merupakan kali pertama Morocco menguasai perlawanan dengan 61% tetapi hanya berjaya melakukan 13 percubaan dengan dua percubaan tepat, manakala France pula yang hanya mempunyai penguasaan bola sebanyak 39% lebih efektif apabila melakukan 15 percubaan dengan dua percubaan tepat yang menghasilkan jaringan.

Morocco juga mempunyai 15 sepakan percuma tetapi gagal memanfaatkan peluang yang terhidang, dan pujian juga harus diberikan kepada barisan pertahanan France yang berjaya mengekang dan mematahkan setiap serangan yang dilakukan pihak lawan.

Apa yang boleh dipelajari dalam kempen Piala Dunia kali ini adalah penguasaan bola tidak akan diterjemahkan dengan keputusan menang, sebaliknya pasukan yang bijak menggunakan peluang yang ada akan menjadi pemenang.

Biarpun peluang untuk menjulang Piala Dunia sudah tamat, namun perjuangan The Atlas Lions masih lagi belum selesai kerana mereka akan sekali lagi bertemu dengan naib juara Piala Dunia 2018 di Russia iaitu Croatia untuk penentuan tempat ketiga dan keempat.

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu adalah pada peringkat kumpulan yang menyaksikan ia berkesudahan seri tanpa jaringan.

Pencapaian yang dikecapi Morocco ini telah menjadi cerita tumpuan dalam kempen Piala Dunia kali ini selepas menjadi pasukan Afrika pertama berjaya mara ke perlawanan separuh akhir.

Biarpun pada mulanya tiada siapa sangka mereka mampu layak ke Pusingan 16, namun semangat jitu yang dipamerkan setiap pemain telah menyaksikan Morocco melepasi peringkat kumpulan dengan cukup bergaya sebagai juara Kumpulan F.

Ketika ramai yang 99% yakin Spain akan mudah menewaskan mereka pada perlawanan kalah mati, anak buah Walid Regragui telah membuktikan sebaliknya apabila mereka berjaya singkirkan juara Piala Dunia 2010 di South Africa dalam penentuan sepakan penalti.

Mereka sekali lagi membuat kejutan besar pada perlawanan suku akhir selepas berjaya tumbangkan sebuah lagi pasukan gergasi Eropah, Portugal 1-0.

Kejayaan Morocco ini akan terus menjadi bualan peminat dan diingati sampai bila-bila. Pencapaian terbaik mereka sebelum edisi 2022 adalah layak ke Pusingan 16 pada Piala Dunia 1986.

Dalam pada itu, France kini sudah pasti mahu menjadi pasukan ketiga untuk menang Piala Dunia secara berturut-turut, dengan Italy pernah melakukannya pada 1934 dan 1938 sebelum Brazil menjadi pasukan kedua pada 1958 dan 1962.

Skuad yang diberi jolokan Les Blues telah menang enam perlawanan terakhir di peringkat kalah mati dengan menewaskan Argentina, Uruguay, Belgium dan Croatia di Russia empat tahun lalu dan pada edisi ini telah singkirkan Poland dan England.

Didier Deschamps kini berjaya memperoleh 14 kemenangan sebagai ketua jurulatih di Piala Dunia dengan kekurangan dua kemenangan daripada rekod Helmut Schon yang berjaya memperoleh 16 kemenangan.

Melihat pada rekod terdahulu, kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak lapan kali (termasuk perlawanan hari ini), dengan France tidak pernah kalah, menang enam kali dan seri dua kali.

Sementara itu, pertembungan antara France dan Argentina pada perlawanan akhir Piala Dunia kali ini akan menjadi satu pertembungan yang cukup epik.

Rekod 12 pertemuan antara mereka sebelum ini memihak kepada Argentina apabila berjaya menang enam kali, seri tiga kali dan kalah tiga kali, tetapi pertemuan terakhir mereka di Piala Dunia telah menyaksikan France menang 4-3 dengan Kylian Mbappe menjaringkan dua gol, manakala Messi tidak berjaya jaringkan gol.

Pemain France yang beraksi pada 2018 dan masih berada dalam skuad pada edisi 2022 termasuk Hugo Lloris,  Rapahel Varane, Olivier Giroud, Kylian Mbappe, Antoine Griezmann dan beberapa lagi.

Manakala Argentina pula, pemain seperti Lionel Messi, Angel Di Maria, Nicolas Otamendi dan Franco Armani masih kekal dalam kempen kali ini.

Argentina sudah pasti mahu membalas dendam atas kekalahan di Pusingan 16 empat tahun lalu, selain ini adalah perlawanan terakhir buat Messi di pentas Piala Dunia, oleh itu mereka pastinya akan bermain mati-matian untuk menjulang Piala Dunia.