T. Avineshwaran percaya rasuah wujud, budaya ‘off-record’ sukarkan proses pembuktian

604

Wartawan sukan ternama, T. Avineshwaran percaya bahawa isu rasuah ternyata wujud dalam budaya di Malaysia malah bukan sekadar untuk sektor sukan bahkan kesemua industri.

Hal ini merujuk kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli baru-baru ini berkenaan wujudnya masalah rasuah dan integriti di dalam organisasi sukan di Malaysia.


“Pada pendapat saya ini adalah satu budaya di negara kita yang bermula dari bawah dan merebak ke peringkat atasan.

Mungkin saya salah atau betul tapi itu pendapat orang, tapi untuk saya budaya rasuah memang wujud di negara kita bukan saja di sektor sukan malah kesemuanya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sebagai seorang wartawan, beliau juga akui ada banyak pihak yang berkongsi serba sedikit maklumat tentang perkara ini namun ia tidak dapat dikongsikan secara umum kerana kebanyakan daripada mereka cenderung untuk sekadar berkongsi kepada beliau semata-mata.

Budaya sebeginilah yang menyukarkan pihak wartawan dan penulis untuk membantu memastikan sektor sukan di Malaysia dapat dihindari daripada masalah rasuah yang terus berleluasa.

“Di negara kita juga ada budaya ‘off-record’, mereka cerita banyak benda tapi kita tidak boleh tulis apa-apa atau dikenakan saman.

Ia sukar sebab kita nak tulis berita tersebut tapi jika pihak tersebut tidak mahu ia diterbitkan jadi tiada apa yang kita sebagai penulis mampu buat.”

Pada masa yang sama, beliau harap pemimpin-pemimpin persatuan induk sukan di Malaysia dapat mengadakan perbincangan dua hala dengan YB Adam Adli bagi membincangkan permasalahan ini.

Tindakan ini dilihat lebih baik dan efektif bagi mencari solusi yang mampu memperbaiki kelemahan dan kepincangan yang dapat dilihat secara nyata ketika ini.

“Semua orang perlu duduk semeja dan membincangkan perkara tersebut berbanding terlalu berkeras dengan YB Adam.

Mereka perlu berkongsi tentang apa perkembangan terbaru yang telah dibuat untuk mengurangkan kes rasuah dan mereka boleh berkongsi pendapat.”

Dalam pada itu, Avin juga memuji tindakan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh yang dilihat ketika ini aktif turun ke padang mendengar keluhan para atlet.

Beliau percaya tindakan yang dilakukan ini akan dapat sedikit sebanyak membawa sinar harapan baru untuk sukan negara sekiranya tindakan susulan yang dilakukan bertepatan dengan keperluan yang dinyatakan.

“Bagi saya apa yang YB Hannah buat adalah baik kerana beliau belajar terlebih dahulu apa yang diperlukan oleh pemegang taruh.

Dia mengambil segala maklumat berkenaan apa yang perlu dilakukan untuk perkasakan lagi sukan di Malaysia.”