Setiausaha Agung akui FAM belum ada pelan untuk ambil pemain naturalisasi wanita, beri kebebasan sepenuhnya kepada Soleen Al-Zoubi

425

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Hj Azman memberitahu bahawa badan induk tersebut belum bercadang untuk mengambil mana-mana pemain naturalisasi untuk memperkuatkan pasukan wanita negara yang dilakukan kepada skuad senior lelaki.

Beliau percaya bahawa fokus perlu diberikan ke arah pembangunan bakat tempatan terlebih dahulu ditambah dengan kehadiran ketua jurulatih baru dari Jordan, Soleen Al-Zoubi.


“Buat masa sekarang belum lagi kerana kita akan fokus kepada pemain tempatan terlebih dahulu.

Biar Soleen datang dan bantu kita untuk buat struktur terlebih dahulu dalam Liga Wanita Nasional dan sebagainya,”

katanya kepada media.

Beliau juga memberi jaminan bahawa jurulatih tersebut yang turut memegang jawatan sebagai Pengarah Teknikal skuad wanita akan diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menentukan kesemua elemen yang diperlukan.

Azman akan memastikan tiada mana-mana pihak yang akan mencampuri atau mengganggu segala proses yang ingin dijalankan oleh Soleen dalam meningkatkan kualiti pasukan Malayan Tigress dalam masa terdekat.

“Akan beri segala-galanya untuk Soleen membantu tingkatkan bola sepak wanita.

Kita beri kebebasan untuk beliau merancang dan menstruktur semula pelan untuk membangunkan pasukan wanita.”

Pada masa yang sama, FAM juga terus giat menjalankan tanggungjawab dalam melahirkan lebih ramai pemain wanita yang mampu mewakili negara.

Ini termasuk dengan menjalinkan hubungan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperkenalkan dengan lebih meluas tentang bola sepak wanita di peringkat sekolah.

“Untuk maklumat, kita sudah ada mesyuarat dengan Kementerian Pelajaran di bahagian Sukan dan Kokurikulum.

Kita minta kalau boleh untuk diadakan bola sepak wanita di dalam MSSM, NFDP juga sudah mula membuat program wanita B-12 di 14 negeri.”