Azeem Fahmi terus mendongak tinggi, Sukan SEA bukan lagi keutamaan, keazaman perlu jadi contoh buat atlet muda yang lain

817

Pemegang rekod 100m negara, Azeem Fahmi terus mencuri tumpuan ketika ini selepas beliau dikhabarkan hampir pasti bakal terlepas beraksi di temasya Sukan SEA Kemboja tahun hadapan.

Ini adalah kerana beliau bertekad untuk memberi fokus kepada kejohanan yang jauh lebih besar untuk membantunya merealisasikan impian layak ke Kejohanan Dunia serta Sukan Olimpik.


Untuk mencapai hajat tersebut, Azeem perlu segera mencari rentak untuk membolehkannya mencapai sub-10 untuk layak secara merit ke Kejohanan Dunia.

Perkara ini dilihat tidak mustahil untuk Azeem tatkala pelari pecut muda tersebut telah membuktikan kemampuannya sewaktu memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m ketika bertanding di Kejohanan Olahraga Dunia B-20 di Cali Colombia pada Ogos lalu.

Tambahan pula, beliau selepas ini akan dilatih oleh legenda pecut Amerika Syarikat, Leroy Burell yang kini merupakan ketua jurulatih trek dan padang di Universiti Auburn yang bakal menjadi destinasi seterusnya buat Azeem melanjutkan pelajarannya.

Burell pernah memenangi pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Barcelona tahun 1992 dalam acara 4x100m.

Beliau juga cemerlang dalam acara tersebut selepas meraih emas sebanyak dua kali dalam Kejohanan Dunia pada tahun 1991 dan 1993.

Kejayaan yang pernah diraih ini membuktikan bahawa Burell merupakan individu tepat yang mampu membawa Azeem ke satu tahap yang jauh lebih tinggi.

Azeem akan berangkat ke universiti tersebut kira-kira pada bulan hadapan untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang Fisiologi Senaman dan Kinesiologi.

Sepanjang berada di sana, Azeem akan terus memberikan fokus kepada peningkatan prestasi sebelum bersaing di beberapa kejohanan besar tahun hadapan.

Antaranya adalah Kejohanan Olahraga Asia yang bakal berlangsung di Thailand pada 12-16 Julai serta Sukan Asia Hangzhou yang akan bermula 23 September hingga 8 Oktober.

Dalam melakukan persiapan menghadapi kejohanan ini, Azeem hampir pasti akan terlepas saingan Sukan SEA Kemboja yang dijangka bermula Mei tahun hadapan.

Perkara ini sedikit sebanyak menarik perhatian ramai tatkala banyak pihak menganggap Azeem sebagai antara pilihan utama untuk merebut pingat emas dalam acara 100m dengan seorang lagi pelari muda dari Thailand, Puripol Boonson.

Walau bagaimanapun, keazaman ini perlu diberikan pujian memandangkan Azeem menunjukkan satu semangat yang cukup tinggi meskipun masih muda.

Beliau cukup terkenal dengan keyakinan yang sentiasa berjaya ditonjolkan olehnya setiap kali berada di atas trek.

Keazaman ini perlu dijadikan contoh kepada semua atlet muda negara untuk terus memberikan yang terbaik bagi mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.