Lagi atlet hadapi buli siber, mentaliti kelas ketiga dalam kalangan penyokong harus dilupuskan

3,531

Seorang atlet tidak pernah terlepas daripada harapan tinggi para peminat, terutama mereka yang membawa nama negara di pentas antarabangsa.

Sekiranya tidak mencapai jangkaan yang diletakkan kepada mereka, banyak suara-suara sumbang yang akan kedengaran mengkritik ataupun lebih teruk mencaci dan menghina mereka.


Buli siber dalam kalangan atlet di negara ini sejak sekian lama telah berlaku, dan walaupun sudah banyak kali diutarakan, ia masih lagi berleluasa.

Pemain badminton wanita negara, Myisha Mohd Khairul juga tidak terkecuali daripada berdepan dengan buli siber oleh netizen di media sosial.

Menurut satu perkongsian dipercayai daripada teman lelakinya, beliau menerima banyak komen-komen negatif gara-gara persembahannya yang tidak mencapai tahap yang diharapkan.

Bukan saja dicaci dan dilemparkan kata-kata kesat, ada juga individu yang menyuruhnya untuk berhenti bermain.

Tidak salah untuk memberi kritikan kepada atlet, namun kritikan yang diberi haruslah membina dan bukan untuk menjatuhkan.

Walaupun dididik untuk mempunyai mental yang kuat, atlet juga adalah manusia biasa dan mempunyai perasaan, justeru komen-komen negatif seperti itu pasti akan memberi kesan kepada mereka.

Buli siber ini tidak hanya tertumpu kepada sukan badminton tetapi juga seluruh sukan yang ada.

Dalam bola sepak juga, isu ini turut berleluasa sehingga ada pihak yang mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman.

Apa yang lebih teruk adalah ada juga individu yang ‘menyerang’ keluarga pemain berkenaan.

Pihak berkuasa terutama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu melakukan sesuatu dan bertegas dalam isu buli siber terhadap atlet kerana jika tidak, perbuatan itu akan menjadi semakin melampau dan boleh memberi kesan besar terhadap atlet yang terlibat.

Dalam perkembangan lain, Myisha mengumumkan beliau akan berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas tersingkir dalam pusingan kedua Petronas Malaysia International Challenge.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia, Michelle Chai mengesahkan perkara itu dan berkata terdapat lain lagi pemain yang akan mengikut jejak Myisha.