Selamat tinggal Luka Modric? Finalis 2018 Croatia rangkul tempat ketiga, tabik buat Morocco yang berjaya cipta sejarah

451

Tamat sudah perlawanan untuk tempat ketiga dan keempat Piala Dunia 2022 Qatar apabila Croatia telah berjaya menewaskan Morocco 2-1 untuk merangkul tempat ketiga pada edisi kali ini.

Ini bukanlah pencapaian terbaik Croatia kerana mereka hadir pada kempen Piala Dunia 2022 dengan reputasi sebagai naib juara Piala Dunia 2018 di Russia.


Kejayaan merangkul tempat ketiga ini merupakan kali kedua buat Croatia yang mana pencapaian terbaik mereka kali pertama adalah Piala Dunia 1998 di France sebelum berjaya memperbaiki pencapaian pada edisi 2018.

Croatia dan Morocco masing-masing tewas kepada lawan mereka Argentina dan France pada perlawanan separuh akhir.

Berdasarkan statistik perlawanan sebentar tadi, ternyata aksi yang dipamerkan anak buah Zlatko Dalic lebih baik berbanding aksi anak buah Walid Regragui.

Walaupun penguasaan bola boleh dikatakan agak seimbang, namun Croatia lebih agresif dalam membuat serangan apabila berjaya melakukan 13 percubaan dengan empat percubaan tepat termasuk menghasilkan dua gol yang dijaringkan oleh Jasko Gvardiol pada minit ke-7′ dan Mislav Orsic pada minit ke-42′.

Untuk Morocco pula mereka hanya berjaya melakukan tujuh percubaan dengan hanya dua percubaan tepat termasuk satu gol yang dijaringkan oleh Achraf Dari pada minit ke-9′.

Terdahulu kedua-dua pasukan ini sudah pun bertemu pada peringkat kumpulan namun mereka sekadar berkongsi satu mata selepas terikat tanpa jaringan.

Biarpun kapten pasukan Croatia iaitu Luka Modric sudah berusia 37 tahun dan berkemungkinan besar Piala Dunia 2022 adalah penampilan terakhir di pentas kejohanan berprestij dunia itu, namun pengendali The Checkered Ones iaitu Dalic masih menagih khidmat pemain itu untuk kejohanan EURO 2024.

Sebelum ini Modric telah berjaya merangkul anugerah Bollon d’Or selepas membawa Croatia ke perlawanan akhir Piala Dunia di Russia empat tahun lalu, dan bintang Real Madrid itu sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang dengan membawa pasukannya mara sehingga ke peringkat separuh akhir di Qatar.

Dalam pada itu, tidak dinafikan Morocco sememangnya bermain mati-matian untuk menang sekaligus merangkul tempat ketiga namun gagal dek kelonggaran di bahagian pertahan selepas tonggak pertahanan yang juga kapten pasukan Romain Saiss dan Nayef Aguerd mengalami kecederaan.

Ketiadaan kedua-dua pemain ini sedikit sebanyak memberi kesan apabila mereka melepaskan dua gol pada perlawanan tadi.

Bagaimanapun Morocco telah mencipta sejarah di Qatar apabila menjadi pasukan Afrika pertama yang berjaya mara ke separuh akhir dan berjaya menduduki tempat keempat adalah pencapaian terbaik pasukan dari Afrika di pentas Piala Dunia.

Terdahulu dua gol yang dijaringkan oleh France pada Rabu lalu merupakan kali pertama mereka bolos kepada pihak lawan sejak Regragui dilantik sebagai ketua jurulatih pada Ogos 2022.

Skuad yang diberi jolokan The Atlas Lions telah berjaya mengekalkan rekod clean sheets dalam lapan daripada 10 perlawanan, dan hanya melepaskan satu gol sendiri ketika menentang Canada dan bolos dua kali kepada France selepas mempunyai pertukaran taktikal mengejut dengan menggunakan lima pemain pertahanan.

Tewas kepada France merupakan kekalahan pertama Morocco dalam 11 perlawanan yang mana dalam kesemua perlawanan tersebut menyaksikan mereka berjaya tewaskan Portugal, Belgium dan Chile serta menang dalam penentuan penalti ketika menentang Spain.