Peluang Malaysia dan pasukan dari Asia Tenggara tipis untuk layak ke Piala Dunia jika Russia sah jadi sebahagian dari Asia

1,114

Berita gembira buat peminat bola sepak Russia dan berita yang membimbangkan buat peminat Malaysia dan peminat dari Asia Tenggara lain apabila hasrat Russia untuk menjadi sebahagian dari Asia nampaknya bakal menjadi kenyataan.

Ia susulan kenyataan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang berkata pihak mereka tidak mempunyai masalah dengan cadangan tersebut dan Presiden IOC sendiri juga telah bersetuju dengan cadangan dari Majlis Olimpik Asia (OCA) yang mahu membenarkan pemain bola sepak dan atlet untuk bertanding di peringkat antarabangsa menggunakan tiket Asia.


Sebelum ini Russia berada di bawah Kesatuan Bola Sepak Eropah (EUFA), namun akibat daripada isu pencerobohan Ukraine, negara itu tidak lagi dibenarkan untuk bersaing dalam pertandingan dibawah UEFA dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sekaligus menyaksikan mereka tidak dapat beraksi dalam kelayakan Piala Dunia dan UEFA Champions League (UCL).

Berikutan itu, Kesatuan Bola Sepak Rusia (RFU) telah membuat permohonan untuk menyertai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi membolehkan mereka kembali beraksi di pentas antarabangsa.

Dengan perkembangan terbaru ini, sudah pasti Russia gembira kerana dapat kembali kembali di pentas antarabangsa, namun akan membuatkan pasukan dari Asia lain khususnya pasukan dari Asia Tenggara gusar.

Jika Russia sah menjadi sebahagian daripada Asia, peluang untuk pasukan seperti Malaysia dan dari Asia Tenggara lain untuk layak ke Piala Dunia 2026 akan menjadi lebih sukar kerana Russia merupakan pasukan yang sering beraksi di Piala Dunia.

Menjadi sebahagian daripada Asia akan membuatkan laluan Russia untuk layak ke Piala Dunia menjadi lebih mudah.

Terdahulu, Australia yang berada dalam Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC) telah menjadi sebahagian daripada AFC pada tahun 2006 dan telah menyaksikan mereka berjaya layak ke Piala Dunia sebanyak lima kali berturut-turut termasuk Piala Dunia 2022 Qatar menggunakan tiket Asia.

Walaupun Piala Dunia 2026 akan menyaksikan jumlah pasukan yang bertanding akan bertambah dari 32 kepada 48 pasukan dengan slot untuk pasukan dari AFC bertambah kepada lapan slot, namun dengan kehadiran pasukan Russia sudah semestinya akan memberi kesan.

Daripada lapan slot tersebut, South Korea, Japan, Australia, Iran, Qatar dan Arab Saudi pastinya menjadi pasukan pilihan untuk layak, sekaligus menyaksikan hanya tinggal dua slot untuk direbut pasukan lain.

Sekiranya Russia menjadi sebahagian daripada AFC, maka sudah pasti mereka mampu layak dan satu slot akan menjadi milik mereka dan akhirnya pasukan kerdil dari Asia Tenggara seperti Malaysia terpaksa merebut satu slot lagi bersama pasukan gergasi lain termasuk dari Asia Barat.