Bangkit dari masalah jantung, Azizulhasni Awang kini berada di landasan tepat untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 Paris
Jaguh berbasikal negara, Dato’ Mohd Azizulhasni Awang adalah definasi seorang pahlawan yang sebenar apabila bangkit dari masalah penyakit jantung dan berjaya meraih pingat emas pecut dan pingat perak keirin pada kejohanan 125th Austral Wheelrace di Melbourne, Australia.
Kejayaan menakjubkan Azizulhasni atau lebih dikenali dengan gelaran The Pocket RocketMan di kejohanan tersebut telah menyaksikan beliau berjaya mengutip mata penting untuk melayakkan diri ke Track Nations Cup di mana kejohanan itu akan menjadi salah satu proses kelayakan ke temasya Sukan Olimpik 2024 Paris.
Beliau yang sudah berusia 34 tahun berkemungkinan besar akan menjadikan Sukan Olimpik 2024 sebagai penampilan terakhirnya di temasya yang berlangsung empat tahun sekali itu.
Ia juga menjadi peluang terakhir buat Azizulhasni untuk meraih pingat emas pertama beliau dan juga untuk Malaysia di pentas Sukan Olimpik kerana beliau sebelum ini pernah meraih pingat perak pada 2020 dan pingat gangsa pada 2016.
Penampilan beliau di kejohanan 125th Austral Wheelrace adalah penampilan pertamanya selepas kembali pulih dari pembedahan jantung yang dilakukannya pada April lalu.

Terdahulu, beliau yang mengadu sakit di bahagian dada ketika menjalani latihan pada Februari lalu telah didapati berdepan masalah anomalous aortic origin of right coronary artery (AAORCA) yang mana ia perlu menjalani pembedahan pembentulan dengan segera supaya tidak berdepan serangan jantung secara tiba-tiba kelak.
Dalam pada itu, Azizulhasni dalam kenyataan di laman sosial Instagram miliknya nyata gembira dengan kejayaan selepas tujuh bulan tidak dapat beraksi.
“Just won my first Class 1 Sprint Event of the season. Not bad for #orangtua who had 7 months layoff from racing.”