Izham Tarmizi ke Sri Pahang FC untuk musim 2023?
Kontrak penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi sudah pun tamat dan kontraknya tidak akan disambung lagi untuk musim depan sekaligus menyaksikan beliau akan berhijrah ke pasukan untuk musim depan.
Walaupun tiada khabar angin mengenai ke mana destinasi Izham Tarmizi selepas ini, namun baru-baru ini isteri beliau Mia Ahmad telah memuat naik satu video yang memaparkan mereka sedang memindahkan barangan rumah untuk meninggalkan Johor Bahru.
Dalam video yang dikongsi di laman sosial Instagram tersebut telah memperlihatkan mereka seperti menuju ke Kuantan, Pahang apabila ternampak pintu gerbang negeri tersebut.
Susulan itu, ramai yang memberi komen ucapan selamat datang ke Pahang dan Sri Pahang FC kepada Izham Tarmizi.
Jika benar beliau akan menyarung jersi skuad Tok Gajah pada musim depan, ia akan menjadi pasukan ketiga beliau dalam kerier sebagai pemain bola sepak profesional.
Ini kerana beliau memulakan karier seniornya bersama skuad Harimau Muda A yang mana ketika itu mereka beraksi dalam Singapore Premier League dari 2011 hingga 2013 sebelum menyertai JDT pada tahun 2014.
Izham Tarmizi boleh dikatakan antara pemain paling lama bersama JDT iaitu selama lapan musim dan telah mengecapi pelbagai kejayaan bersama skuad Harimau Selatan itu.
Malah beliau juga telah berpeluang bermain di peringkat tertinggi Asia termasuk beraksi di Piala AFC dan juga AFC Champions League (ACL) yang mana ia merupakan satu pengalaman yang cukup sukar untuk diperoleh oleh mana-mana penjaga gol tempatan.
Dengan pengalaman yang cukup luas di peringkat tempatan dan antarabangsa, beliau mampu menjadi aset yang cukup berharga buat mana-mana pasukan yang mendapatkan khidmatnya nanti.
Bagaimanapun disebalik kejayaan yang diperoleh JDT sepanjang tempoh lapan musim beliau bersama gergasi dari Selatan itu, Izham Tarmizi hanya membuat sebanyak 87 penampilan dengan purata 10.8 penampilan setiap musim.
Tidak dinafikan beliau yang juga merupakan bekas penjaga gol kebangsaan mempunyai kualiti tetapi kelibatnya tenggelam selepas kemasukan Farizal Marlias yang bukan sahaja menjadi penjaga gol utama untuk JDT, tetapi juga penjaga gol utama untuk skuad Harimau Malaya.
Mungkin dengan perpindahan beliau ke pasukan baru akan menyaksikan kebangkitan semula Izham Tarmizi sekaligus mengembalikan zaman kegemilangannya.