‘The real GOAT’ dengan tanpa penyesalan! Lionel Messi akhirnya berjaya julang Piala Dunia untuk Argentina!

1,134

Berakhir sudah Piala Dunia 2022 Qatar dengan menyaksikan Argentina telah berjaya menamatkan kemarau 36 tahun selepas mereka menewaskan France dalam perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan terikat 3-3 sehingga ke masa tambahan sekaligus menyaksikan juara perlu ditentukan menerusi sepakan penalti yang menyaksikan Argentina berjaya menang 4-2.


Perlawanan bermula dengan berat sebelah apabila Argentina memperlihatkan penguasaan penuh pada separuh masa pertama menyaksikan mereka melakukan serangan bertali arus dengan enam percubaan termasuk tiga percubaan tepat, manakala France gagal melakukan sebarang percubaan langsung.

Argentina akhirnya memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti pada minit ke-23′ yang disempurnakan oleh kapten pasukan Lionel Messi.

Pada minit ke-36′ Angel Di Maria menambah satu lagi gol untuk memberikan kelebihan selesa buat pasukannya pada separuh masa pertama.

Tersentap dengan dua jaringan separuh masa pertama, pengendali France iaitu Didier Deschamps telah membuat dua pertukaran pemain dengan mengeluarkan Ousmane Dembele dan Olivier Giroud digantikan dengan Randal Kolo Muani dan Marcus Thuram.

Masuk separuh masa kedua, France mula melancarkan serangan demi serangan tetapi berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Argentina, namun pada minit ke-80′ mereka telah dihadiahkan sepakan penalti yang mana Kylian Mbappe dengan mudah menyempurnakannya.

Kurang seminit selepas gol pertama, Mbappe berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-81′ sekaligus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Pada masa tambahan berlangsung, Lionel Scaloni telah mengarahkan anak buahnya terus menyerang dan mereka sekali lagi berjaya berada di hadapan selepas Messi menjaringkan gol pada minit ke-108′.

France sekali lagi melakukan kebangkitan menerusi Mbappe apabila mereka sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-118′, sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Dalam penentuan penalti, Emiliano Martinez sekali lagi menjadi wira buat Argentina berjaya menyelamatkan sepakan daripada Kingsley Coman dan kegagalan Aurelien Tchouameni menyempurnakan penalti telah mengesahkan kejuaraan ketiga buat Argentina.

Tidak dapat dinafikan pada perlawanan sebentar tadi, Mbappe berjaya menenggelamkan rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain, Messi selepas menjaringkan hattrick tetapi Messi keluar dalam perlawanan sebagai juara Piala Dunia.

Sebelum perlawanan berlangsung, Messi dan Mbappe dalam perebutan Kasut Emas selepas kedua-dua mereka menjaringkan lima gol dan dengan keputusan pada perlawanan akhir tadi menyaksikan Mbappe berjaya merangkul anugerah Kasut Emas dengan lapan jaringan, manakala Messi pula menjaringkan tujuh gol.

Ini juga merupakan perlawanan akhir pertama selepas 16 tahun ditentukan menerusi sepakan penalti.

Sehingga kini, sebanyak lapan negara telah berjaya menjuarai Piala Dunia, dengan negara paling berjaya dalam kejohanan ini adalah pasukan Brazil yang berjaya menjuarainya sebanyak lima kali.

Lima negara dari Eropah pernah menjulang Piala Dunia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12 kali, disusuli tiga negara daripada Amerika Selatan dengan 10 kemenangan.

Sebelum ini hanya satu pasukan sahaja dalam sejarah Piala Dunia yang berjaya bangkit dari kekalahan dalam perlawanan pertama mereka untuk menjulang trofi iaitu Spain pada tahun 2010, yang mana mereka tewas 1-0 kepada Switzerland dalam peringkat kumpulan, namun mereka kemudian berjaya menang 1-0 dalam setiap perlawanan kalah mati termasuk di perlawanan akhir.

Skuad La Albiceleste juga berdepan nasib yang sama apabila tewas mengejut kepada Saudi Arabia 2-1 pada perlawanan pertama kumpulan tapi akhirnya berjaya menjadi juara Piala Dunia.

Dalam 11 perlawanan akhir Piala Dunia membabitkan pasukan dari Amerika Selatan dan pasukan Eropah, pasukan Amerika Selatan telah berjaya memenangi sebanyak lapan kali.

Ini merupakan perlawanan akhir Piala Dunia kedua buat Messi selepas pasukannya tewas kepada Germany pada 2014. Piala Dunia adalah satu-satunya kejuaraan yang tiada dalam koleksinya sebelum ini dan akhirnya beliau berjaya juga mendapatkannya.

Untuk France pula, ini merupakan perlawanan akhir Piala Dunia yang keempat mereka dengan mereka berjaya menjuarainya pada tahun 1998 dan 2018, dan menjadi naib juara pada 2006 dan juga 2022.

Bagi Argentina pula, ini merupakan kejuaraan ketiga mereka selepas mereka pernah menjulang trofi itu pada tahun 1978 dan 1986. Mereka juga pernah menjadi naib juara sebanyak tiga kali; pada 1930, 1990 dan 2014.

Penampilan di perlawanan akhir Piala Dunia, hanya Germany sahaja yang paling banyak beraksi di pentas akhir dengan lapan perlawanan akhir Piala Dunia berbanding Argentina sebanyak enam kali.

Dalam pada itu, Messi juga telah memecah rekod sebagai pemain yang bermain dalam kesemua perlawanan di Piala Dunia iaitu sebanyak 26 penampilan termasuk perlawanan akhir Piala Dunia 2022.

Dengan dua gol di perlawanan akhir, Messi menjadi satu-satunya pemain dalam sejarah Piala Dunia yang berjaya jaringkan gol dalam setiap peringkat Piala Dunia (peringkat kumpulan, pusingan 16, suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir).

Usia hanyalah nombor. Messi telah menjadi kapten kedua tertua untuk menjuarai Piala Dunia, dibelakang Dino Zoff dari Italy yang menjulang Piala Dunia 1982 pada usia 40 tahun dan 133 hari.

Sementara itu, France gagal menjadi pasukan pertama untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunia sejak Brazil melakukannya pada 1962.

Mereka telah berjaya menang 10 perlawanan Piala Dunia menentang pasukan dari Amerika Selatan, sejak 1978 yang mana ketika itu mereka menewaskan Argentina; dan mereka masih lagi belum pernah tewas kepad Argentina dalam tempoh permainan 90 minit atau masa tambahan, walaupun tewas dalam penentuan penalti.

Sejak Piala Dunia 2006 di mana ketika itu mereka menjadi naib juara, skuad Les Blues hanya pernah tewas empat kali sahaja dalam 28 perlawanan dan menang 20 perlawanan.

Deschamps gagal menjadi ketua jurulatih kedua yang berjaya membawa pasukan yang dikendalinya menjulang dua kejuaraan Piala Dunia, yang mana rekod tersebut masih kekal dipegang oleh Vittorio Pozzo dengan Italy pada tahun 1934 dan 1938.

Hanya empat pemain yang pernah menjaringkan gol di beberapa perlawanan akhir Piala Dunia; Vava, Pele, Paul Breitner dan Zinedine Zidane.

Mbappe telah meletakkan namanya dalam senarai tersebut selepas menjaringkan tiga gol dalam perlawanan sebentar tadi, dan beliau menjadi pemain paling muda berjaya melakukannya.

Kali pertama Argentina menjulang trofi pada tahun 1978 yang mana ketika itu dikendalikan oleh Daniel Passarella. Kejuaraan kedua mereka dikecapi pada tahun 1986 yang mana ketika itu lagenda bola sepak dunia Diego Maradona bermain untuk Argentina.

France pula telah berjaya menang dua kali pada tahun 1998 dan 2018, dengan Deschamps berjaya menjuarai kedua-duanya sebagai pemain (kapten) pada tahun 1998 dan ketua jurulatih pada tahun 2018.

Pada tahun 2018, Deschamps juga menjadi individu ketiga yang berjaya menang trofi tersebut sebagai ketua jurulatih dan juga sebagai pemain, selepas Mario Zagollo (Brazil) dan Franz Beckenbauer (West Germany).

Kejayaan pada perlawanan tadi juga menyaksikan Argentina akhirnya berjaya membalas dendam atas kekalahan empat tahun lalu kepada France pada Pusingan 16 Piala Dunia 2018 di Russia yang menyaksikan sebanyak tujuh gol terhasil.