Faisal Halim anggap ketiadaan penyokong Myanmar satu kelebihan, semua pemain semangat menuju perlawanan pertama

818

Pemain sayap negara, Faisal Halim optimis pasukan kebangsaan mampu mendapatkan keputusan positif menjelang aksi pertama Piala AFF 2022 menentang Myanmar.

Tambahan pula, aksi yang dijadual berlangsung pada 21 Disember di Stadium Thuwanna tersebut bakal diadakan tanpa kehadiran penonton ekoran daripada masalah politik yang melanda negara tersebut.


“Bermain di gelanggang lawan tanpa penyokong boleh dianggap sebagai satu kelebihan, ia mampu mengurangkan tekanan kita,”

katanya kepada media.

Pada masa yang sama, Faisal yang juga merupakan salah seorang ketua pasukan yang telah dilantik nyata gembira dengan keadaan semasa dalam pasukan ketika ini.

Kesemua pemain dilihat berada dalam keadaan terbaik dan bersedia sekiranya khidmat mereka diperlukan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kesemua pemain tidak sabar untuk turun beraksi.

Saya pasti kesemua mereka mampu memberikan aksi yang terbaik jika dipilih, ini akan menjadi batu loncatan untuk masa depan karier mereka.”

Beliau juga memberitahu bahawa skuad yang ada ketika ini tidak menghadapi kesukaran untuk mendapatkan keserasian meskipun banyak muka baru.

“Saya tidak rasa ada masalah dari segi keserasian, saya cuma harapkan agar semua pemain dapat beri yang terbaik.”

Faisal yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang pada dua perlawanan persahabatan sebelum ini meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan pada perlawanan pertama.

Ini kerana, ia akan menjadi pembakar semangat buat kesemua pemain sebelum bertemu dengan lawan yang lebih kuat seperti Vietnam dan Singapura di peringkat kumpulan.

“Gol bukanlah faktor yang kita pentingkan, yang utama adalah bagaimana untuk kita atasi permainan dan menyerap segala tekanan dalam setiap perlawanan.

Kemenangan akan membantu kita ke menghadapi perlawanan kedua tanpa tekanan.”