Selepas harga tiket diturunkan, Noor Azman gesa penyokong banjiri Bukit Jalil pada aksi menentang Laos

797

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman berharap agar para penyokong dapat sama-sama turun memberikan sokongan kepada pasukan negara pada aksi Piala AFF kali ini terutama sekali pada aksi menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tambahan pula, FAM telah bersetuju menurunkan harga muktamad penjualan tiket selepas harga permulaan mendapat reaksi negatif dari ramai pihak.


“Itu adalah harapan FAM selepas kita sudah turunkan harga tiket ke RM30, Presiden sememangnya memahami denyut nadi masyarakat kita terutamanya di kalangan golongan B40.

Setelah mendengar pelbagai pandangan kita bersetuju menurunkan harga, kita harap peminat dapat penuhkan stadium untuk perlawanan menentang Laos pada 24 Disember,”

katanya kepada media.

Pada masa yang sama, beliau berharap pasukan kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon kali ini mampu untuk melangkah dengan lebih jauh di kejohanan kali ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebarang sasaran khusus namun percaya bahawa semangat yang dimiliki ketika ini mampu memacu pasukan Harimau Malaya ke tahap yang lebih baik.

“Semestinya harapan kita tinggi, kita akan berusaha sebaik mungkin dan saya yakin dengan kejurulatih serta pemain.

Tidak mustahil mereka akan pergi lebih jauh.”

Setakat ini, dianggarkan tiket yang telah terjual adalah sekitar 12 ribu sehingga 15 ribu.