Alexandre Polking akui kehebatan Malaysia meskipun banyak muka baru, ingin Thailand capai kemenangan penting menentang Brunei

1,907

Ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking mengakui kehebatan pasukan Malaysia meskipun hadir ke Piala AFF tahun ini tanpa beberapa pemain utama.

Perkara ini sedikit sebanyak turut dirasai oleh Polking tatkala pasukan kendaliannya tidak dapat menyenaraikan skuad terbaik selepas tonggak seperti Chanathip Songkrasin dan Supahok Sarachat tidak dapat menyertai aksi kali ini.


“Malaysia sentiasa menjadi pasukan pencabar yang hebat walaupun mereka turut berhadapan masalah sama kehilangan pemain dan telah lalui beberapa perlawanan persahabatan dengan baik.

Mereka salah satu pasukan yang merbahaya dan mampu untuk memenangi trofi ini,”

katanya kepada media.

Namun, ketua pasukan Thailand, Theerathon Bunmathan tetap percaya bahawa skuad kali ini mampu memberi saingan yang cukup hebat melihat kepada prestasi semasa yang ditunjukkan oleh kesemua rakan sepasukannya ketika ini.

Tambahan pula, mereka berhadapan dengan tugas yang cukup berat bagi mengekalkan kejuaraan yang telah dimenangi pada edisi yang lalu.

“Tahun ini kami miliki ramai pemain baru dan muda di dalam pasukan, tapi perhatian perlu diberikan kepada mereka yang telah tunjukkan keinginan yang begitu tinggi.

Saya harap akan ada beberapa pemain muda yang mampu beraksi dengan baik pada kejohanan tahun ini.”

Thailand dijadual bertemu Brunei yang pertama kali layak ke Piala AFF selepas 30 tahun pada aksi pertama peringkat kumpulan pada esok (20 Disember).

Polking ingin kesemua anak buahnya memberikan persembahan yang cukup baik untuk memastikan skuad Gajah Perang berjaya memperoleh kemenangan pada perlawanan tersebut sebagai permulaan terbaik buat juara bertahan tersebut.

“Kami adalah juara bertahan jadi ia adalah penting untuk kami bermula dengan tiga mata.

Kami akan menghormati dan tidak memandang rendah kepada pihak lawan, kami datang dengan sasaran jelas untuk memperoleh tiga mata sebelum pulang ke Thailand.”

Penyertaan kali ini sedikit berbeza dengan edisi 2020 tatkala mereka hanya berjaya mengadakan sesi latihan bersama kesemua pemain dalam tempoh yang lebih singkat.

Namun, ia tidak akan menjadi penghalang terbesar buat pasukan Thailand yang cukup terkenal dengan dominasi mereka di peringkat Asia Tenggara.

“Ia sedikit berbeza dengan edisi yang lalu, kami hanya ada dua minggu untuk persiapan ditambah dengan Liga Thai yang berjalan di pertengahan kem latihan.

Kami dapat mengumpulkan semua pemain bersama selama dua minggu untuk berlatih dan menghadapi beberapa perlawanan persahabatan untuk membiasakan diri dengan padang.”

Thailand merupakan juara terbanyak Piala AFF selepas mereka berjaya mencatatkan enam kejuaraan sepanjang menyertai kejohanan ini.