Fandi Ahmad bakal kendalikan Sri Pahang FC musim depan?

909

Pasukan Sri Pahang FC sudah pun memulakan latihan pertama bagi menghadapi musim Liga Malaysia 2023 dan berdasarkan gambar yang dikongsi oleh kelab tersebut memperlihatkan Fandi Ahmad mengendalikan sesi latihan tersebut.

Biarpun masih awal untuk membuat sebarang spekulasi, namun ramai peminat mula memperkatakan bahawa terdapat kemungkinan besar Fandi Ahmad akan mengendalikan skuad Tok Gajah sebagai ketua jurulatih pada musim depan.


Jika benar sudah pastinya peminat akan menyambut baik keputusan tersebut berikutan sebelum ini ramai yang terkejut apabila lagenda bola sepak dari Singapura itu dilantik sebagai Penasihat Teknikal dan bukannya ketua jurulatih selepas Thomas Dooley dipecat.

Ketika itu, Sri Pahang kembali dikendalikan oleh Dato’ Dollah Salleh sehingga hujung musim ini, jadi sekiranya Fandi Ahmad benar-benar diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih ia bermakna Dollah Salleh akan kembali memegang jawatan sebagai Pengurus pasukan.

Dalam pada itu, selain posisi ketua jurulatih yang masih menjadi tanda tanya buat peminat Sri Pahang, peminat juga sudah mula tertanya-tanya mengenai barisan pemain yang akan menguatkan pasukan itu pada musim hadapan.

Beberapa nama pemain mula dikaitkan akan ke Darul Makmur pada musim depan antaranya bekas penyerang Terengganu FC, Kpah Sherman dan juga penyerang Penang FC, Lucas Silva yang akan menguatkan jentera serangan Sri Pahang selepas kedua-dua pemain itu tidak lagi bersama pasukan masing-masing.

Kehadiran dua import baru ini pastinya akan melegakan kebimbangan peminat selepas penyerang lincah mereka iaitu Steven Rodriguez disahkan tidak akan bersama Sri Pahang lagi untuk musim depan apabila pemain itu akan kembali ke kelab lamanya iaitu Independiente Medellin di Colombia.

Selain pemain import, Sri Pahang juga dikatakan akan membawa masuk dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Fadhli Shas dan Syazwan Andik yang mana kedua-dua pemain itu sebelum ini dipinjamkan ke Melaka United FC.

Mereka juga akan membawa masuk dua pemain iaitu Azrif Nasrulhaq dan penjaga gol Izham Tarmizi selepas kontrak kedua-dua pemain itu bersama JDT sudah tamat.

Mampukah Sri Pahang kembali bangkit untuk mengembalikan reputasi mereka sebagai gergasi Pantai Timur pada musim depan? Sama-sama kita tunggu.