Juara dunia dua kali, Nova Widianto disebut jurulatih beregu campuran ABM terbaru

409

Legenda badminton Indonesia, Nova Widianto dilihat semakin hampir menyertai barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baru.

Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky seakan memberi petanda bahawa perkara ini akan berlaku namun kesahihannya setakat ini masih belum dapat disahkan tanpa kenyataan rasmi.


Terdahulu, bekas pemain seperti Lim Pek Siah dan Chin Eei Hui juga disebut bakal menjadi jurulatih yang akan kembali menyertai kem latihan namun BAM menafikan perkara tersebut dan menyatakan bahawa sedang melakukan perbincangan dengan jurulatih dari Indonesia dan Korea Selatan.

Nova kini memegang tanggungjawab sebagai jurulatih beregu campuran Persatuan Bulutangkis  Seluruh Indonesia (PBSI).

Beliau telah melatih beberapa pasangan ternama seperti Praveen Jordan-Melati Daeva yang pernah menjuarai saingan All England pada tahun 2020.

Selain cemerlang sebagai seorang jurulatih, Nova juga memiliki pencapaian yang sangat hebat sebagai bekas pemain.

Beliau bersama pasangannya, Liliyana Natsir pernah menjuarai Kejohanan Dunia BWF sebanyak dua kali berturut-turut pada tahun 2005 dan 2007.

Selain itu, beliau juga pernah memenangi pingat perak di temasya Sukan Olimpik 2008 Beijing bersama pasangan yang sama.

Pengalamannya yang cukup luas ini mampu menjadi nilai tambah yang baik dalam membantu untuk mengembalikan kecemerlangan beregu campuran negara.

Sebelum ini, BAM memiliki beberapa pasangan yang cemerlang di peringkat antarabangsa seperti Goh Liu Ying-Chan Peng Soon yang pernah merangkul pingat perak di temasya Sukan Olimpik.

Namun, pencapaian tersebut dilihat tidak bertahan lama tatkala sejak kebelakangan ini pasangan beregu campuran yang berlatih bersama BAM mempamerkan aksi kurang menyakinkan dan tidak konsisten.

Lebih menyerlah adalah dua pasangan campuran yang kini bergerak secara profesional iaitu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai yang kini berada di kedudukan sepuluh terbaik dunia.

Sekiranya kemasukan Nova menjadi realiti, ia akan memberi nilai tambah yang cukup baik kepada para pemain negara di bawah naungan BAM yang baru sahaja dirombak semula dan mempunyai potensi yang cukup besar.

Pasangan baru, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei telah berjaya menjuarai saingan Cabaran Antarabangsa Bangladesh yang berlangsung di Dhaka pada 11 Disember lau.

Mereka yang baru sahaja digandingkan lebih kurang sebulan berjaya menewaskan pasangan Thailand, Phatharathorn Nipornram-Alisa Sapniti di perlawanan akhir dengan keputusan 21-15, 21-13.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen