Kelantan FC semakin rancak buat persiapan bagi menghadapi saingan Liga Super 2023, enggan jadi pasukan pelengkap saja!

2,154

Satu ketika dahulu pasukan Kelantan FC hampir terkubur dek masalah kewangan yang parah, namun apabila pasukan itu diambil alih oleh usahawan Norizam Tukiman dan perubahan drastik dilakukan sehingga pasukan itu kembali bangkit.

Musim ini menyaksikan Kelantan beraksi dalam saingan Liga Perdana dan mereka mengharungi musim yang cukup menakjubkan apabila menamatkan saingan liga di tangga kedua di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT II).


Dengan penstrukturan Liga Malaysia pada musim hadapan, skuad The Red Warriors nampaknya kini sedang rancak membuat persiapan bagi membentuk sebuah skuad yang mantap.

Ketua jurulatih Kelantan musim ini iaitu Rezal Zambery Yahya tidak akan mengendalikan skuad itu pada musim depan sebaliknya akan menjadi penolong ketua jurulatih untuk musim 2023.

Norizam atau mesra dengan panggilan Zamsaham telah mendedahkan bahawa pihaknya akan membawa ketua jurulatih baru yang mana mereka sudah mengenal pasti calon sesuai dan akan mendedahkan identiti ketua jurulatih itu tidak lama lagi.

Zamsaham juga mendedahkan bahawa pihaknya telah menandatangani tiga pemain baru iaitu seorang penyerang, seorang pertahanan dan seorang penjaga gol.

Kelantan juga sudah menandatangani seorang pemain import dan tiga pemain tempatan bakal menyusul tidak lama lagi.

Rombakan pemain yang dilakukan oleh pasukan dari Pantai Timur itu boleh dikatakan rombakan besar-besaran berikutan bocornya senarai 12 pemain tempatan yang dikatakan tidak berada dalam perancangan kelab itu untuk musim depan.

Antara pemain yang berada dalam senarai tersebut adalah Solehin Mamat, Asfa Abidin, Amin Faisal Saidi, Jasmir Mehat, Shyamierul Razmee, Azrie Basalie, Syed Sobri, Dzulfahmi Abdul Hadi, Shahrul Igwan, Danial Hadri, Osman Mohamad Yusoff dan seorang penyerang iaitu Alifh Aiman.

Mereka juga tidak akan mengekalkan tiga pemain import iaitu Nixon Gulyherme, Kenta Hara dan Felipe Herda sekaligus menyaksikan hampir separuh pasukan tidak dikekalkan.

Situasi ini membuatkan peminat kini tidak sabar untuk melihat barisan pemain-pemain yang akan dibawa ke Kota Bharu pada musim depan.

Dalam pada itu, bekas penjaga gol utama Kedah Darul Aman FC (KDA), Shahril Sa’ari dikatakan akan menyertai Kelantan pada musim hadapan.

Jika benar, ia merupakan satu pembelian yang berbaloi kerana Shahril adalah seorang penjaga gol yang cukup berpengalaman kerana beliau bukan sahaja mempunyai pengalaman beraksi di Liga Super sahaja, tetapi juga di peringkat tertinggi Asia seperti AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC.

Apa yang dilakukan oleh Kelantan ketika ini adalah memberi amaran kepada pasukan lain bahawa mereka bukan hanya akan menjadi pasukan ‘pelengkap’ tetapi akan menjadi pasukan yang akan beri saingan sengit di Liga Super.