Haritu abang, kali ini giliran adik beri petanda ikut jejak langkah sama musim depan

1,653

Adik kepada penyerang negara, Safawi Rasid iaitu Alfi Rasid dikhabarkan bakal mengikut jejak langkah abangnya meninggalkan pasukan Johor Darul Ta’zim FC pada musim depan.

Terbaru, menerusi hantaran di akaun Instagram peribadinya, Alfi seakan-akan memberi petanda bahawa beliau akan menyertai pasukan Kedah Darul Aman FC pada musim hadapan.


Hantaran tersebut memaparkan pintu gerbang negeri Kedah bersama emoji hati bewarna Hijau Kuning seakan memberi petanda bahawa beliau sedang dalam perjalanan ke sana.

Pemain berusia 21 tahun tersebut berkemungkinan besar bakal memperkuatkan pasukan Liga Simpanan Kedah melihat kepada umurnya yang masih muda.

Beliau juga mempunyai peluang yang besar untuk berada di dalam skuad utama tatkala Kedah kini dilatih oleh Nafuzi Zain yang cukup terkenal dengan kebolehan menggilap bakat-bakat muda.

Alfi menyertai JDT III sekitar tahun 2020 selepas beliau berjaya mempamerkan aksi cemerlang bersama sebuah pasukan amatur daripada Terengganu, Dspex FC.

Aksinya dalam membantu kelab tersebut menjuarai saingan Liga Amatur Terengganu 2018 berjaya menarik perhatian barisan kejurulatihan skuad muda Harimau Selatan pada ketika itu.

Namun selepas beberapa musim, Alfi dilihat kurang menyerlah dan hanya sekadar menjadi pelengkap buat pasukan ketiga JDT sehingga ke hari ini.

Pencapaian terbaiknya tahun ini adalah berjaya membantu pasukan JDTIII untuk menjuarai saingan Piala Presiden selepas menewaskan pasukan Sri Pahang di final dengan keputusan 1-0.

Sama seperti abangnya, penghijrahan keluar ini mungkin dilihat sebagai peluang terbaik untuk memperoleh peluang bagi membuktikan kemampuan sebenar di atas padang.

Persaingan yang cukup sengit di JDT dengan kehadiran pemain-pemain muda berkualiti yang terlahir dari Akademi mungkin menyukarkan Alfi untuk kekal mendapatkan tempat sebagaimana yang berjaya dilakukan oleh pemain seperti Aysar Hadi dan Daryl Sham yang menyinar musim ini.

Dengan kebolehan yang dimiliki oleh Alfi, minit perlawanan di pentas yang lebih tinggi bakal menjadi elemen yang cukup baik dalam membantu mematangkan lagi corak permainannya.

Tidak mustahil, satu hari nanti beliau akan berjaya memperoleh rentak cemerlangnya kembali serta mengikut jejak langkah Safawi untuk berada di dalam senarai pemain yang sering dipanggil untuk mewakili pasukan negara.