BAM buat silap besar, risikokan peluang Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tercicir mata di Indonesia Masters 2023

2,401

Pemain beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi baru-baru ini dilihat memuat naik sebuah hantaran di akaun Instagram peribadinya bagi meluahkan kekecewan beliau terhadap tindakan amatur yang dilakukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Badan induk yang bertanggungjawab mendaftarkan nama pemain negara di kejohanan-kejohanan dunia setiap tahun telah melakukan satu kesilapan besar dengan meletakkan nama pemain lain sebagai gandingan kepada Ong Yew Sin bagi bersaing di kejohanan Indonesia Masters 2023.


Perkara ini jelas menimbulkan tanda tanya dari pelbagai pihak tatkala Ee Yi-Yew Sin bukanlah pasangan beregu baru malah mereka kini berada di kedudukan sepuluh teratas dunia.

Bagaimana kesilapan mudah seperti ini boleh dilakukan oleh organisasi besar seperti BAM yang sepatutnya melakukan pemeriksaan terperinci sebelum menghantar nama-nama pemain.

Tambahan pula, pihak Persatuan Badminton Dunia (BWF) akan meminta setiap wakil yang menghantar nama untuk mengesahkan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan senarai nama rasmi.

Ini sekaligus akan merugikan Ee Yi-Yew Sin selepas mereka dilihat akan terlepas peluang untuk bersaing di Indonesian Masters 2023 sekaligus akan menyebabkan pasangan ini keciciran mata yang agak penting memandangkan kejohanan ini berstatus Super 500.

Lebih menyedihkan, pasangan ini sedang berada di dalam momentum yang cukup baik selepas mereka baru saja selesai beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF tahun ini.

Indonesia Masters dijangka berlangsung pada 24 hingga 29 Januari tahun hadapan di Istora Senayan, Jakarta.

Setakat ini, Setiausaha Agung BAM, Dato’ Kenny Goh ada menyatakan bahawa perkara ini sedang dalam perbincangan serta masih cuba diselesaikan oleh pihak bertanggungjawab.

Namun, difahamkan bahawa BWF bertindak tegas dan menolak rayuan sebarang penukaran selepas senarai rasmi telah dikeluarkan.

Ini perlu dijadikan sebagai pengajaran kepada BAM terutama sekali bagi pihak yang bertanggungjawab mengendalikan proses ini.

Perkara seperti ini tidak boleh berulang memandangkan ia bakal menyebabkan kerugian yang cukup besar kepada pemain dalam usaha mereka mengumpul seberapa banyak mata yang mampu diperoleh.

Berdasarkan senarai yang telah dikeluarkan, Yew Sin dan ‘gandingan baru’ beliau, Chee Yik Shen terpaksa bermula dari peringkat kelayakan disebabkan oleh ranking mereka.