Kim Pan-gon anggap Myanmar antara pencabar terkuat dalam kumpulan, mahu pemain raih tiga mata berharga

757

Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon menghormati pasukan lawan, Myanmar yang bakal ditemuinya pada perlawanan pertama Kumpulan B di saingan Piala AFF kali ini.

Beliau percaya bahawa Myanmar memiliki kekuatan dan kelebihan untuk melakukan kejutan pada saingan kali ini.


“Saya rasa dalam kumpulan ini, Myanmar adalah merupakan salah sebuah pasukan yang terkuat.

Kemenangan ke atas Myanmar adalah sangat penting,”

katanya kepada media.

Pan-gon berharap agar kesemua pemain yang dibawa kali ini dapat memperagakan aksi terbaik bagi membolehkan mereka memastikan tiga mata penting dapat diperolehi.

Kemenangan pada perlawanan esok (21 Disember) akan menentukan hala tuju Malaysia pada penyertaan tahun ini terutama sekali dalam usaha merealisasikan impian meraih gelaran juara.

“Sangat penting untuk meraih tiga mata, kami mempunyai sasaran tertentu tapi kami tidak mampu mencapai dengan sendiri.

Kami akan bertarung untuk perkara itu.”

Jurulatih berasal dari Korea Selatan tersebut yakin dengan kemampuan anak buahnya yang telah mempamerkan aksi yang cukup baik ketika berjaya meraih dua kemenangan pada aksi persahabatan menentang Kemboja dan Maldives tanpa sebarang bolos.

Beliau menyedari bahawa kesemua pemain ingin membuktikan bahawa mereka sebenarnya layak untuk berada di dalam skuad kebangsaan dan bukan hanya sekadar datang sebagai pengganti semata-mata.

“Saya percaya pemain saya dahagakan kemenangan pada perlawanan esok hari.

Saya juga percaya mereka mampu lakukan yang terbaik pada aksi tersebut.”

Perasaan yang sama turut dikongsi oleh penyerang, Safawi Rasid yang menyatakan keinginan beliau dan rakan sepasukan untuk mencapai sesuatu pada kali ini.

“Untuk diri saya sendiri, saya telah bermain AFF sebanyak tiga kali dan tahun ini kami memiliki misi yang besar untuk mendakap trofi ini.

Apa pun terjadi, kami perlu berikan yang terbaik untuk memenangi kejuaraan.”

Para pemain tidak boleh memandang rendah kemampuan pihak lawan meskipun kedudukan ranking yang jauh berbeza.

Terdahulu, Myanmar yang turut dibarisi oleh pemain Selangor FC, Hein Htet Aung akur tewas 6-0 pada aksi pemanas badan terakhir bertemu Thailand baru-baru ini.