Kemegahan Piala Dunia Qatar dipuji Presiden AFC, Harimau Malaya berpeluang merasai sendiri di Piala Asia 2023

550

Piala Dunia 2022 Qatar telah melabuhkan tirai selepas wakil Amerika Selatan, Argentina berjaya dinobatkan selaku juara.

Mereka berjaya mengatasi kehebatan pasukan lawan, Perancis di pentas final yang berakhir dengan penentuan sepakan penalti.


Kehangatan saingan Piala Dunia kali ini turut dipengaruhi oleh kemegahan pihak penganjur Qatar dalam menjadikan kejohanan ini bertambah menarik.

Ini dilihat menerusi fasiliti yang cukup gah dimiliki oleh tuan rumah terutama sekali dalam pembinaan venue perlawanan seperti lokasi perlawanan akhir, Stadium Lusail yang sangat hebat dan mengujakan.

Perkara ini turut diperakui oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman yang turut kagum dengan apa yang ditunjukkan oleh Qatar.

Meskipun dengan populasi dan keluasan negara yang tidak begitu besar, Qatar tetap berjaya memastikan kehangatan saingan paling berprestij dunia ini dapat dijalankan meskipun mendapat pelbagai kecaman dan reaksi negatif pada permulaannya.

Dalam pada itu, kemegahan dan kemeriahan ini akan diteruskan selepas ini tatkala Qatar juga telah terpilih selaku tuan rumah Piala Asia 2023 selepas China terpaksa digugurkan daripada menjadi penganjur ekoran daripada bilangan kes COVID-19 yang tidak terkawal.

Lebih membanggakan, situasi ini akan memberikan peluang kepada skuad Harimau Malaya untuk merasai kehebatan beraksi di stadium-stadium yang telah menjadi pentas kepada kejohanan utama dunia tersebut.

Semestinya ia akan menjadi pembakar semangat kepada para pemain negara untuk memberikan aksi yang terbaik memandangkan kita berjaya layak ke kejohanan ini selepas hampir 42 tahun tidak berjaya melakukannya secara merit.

Kali terakhir pasukan negara melayakkan diri adalah pada tahun 1980 di Kuwait sebelum meraih slot automatik kerana menjadi tuan rumah bersama Vietnam, Indonesia dan Thailand pada tahun 2007.

Fokus utama Kim Pan-gon buat masa ini semestinya akan tertumpu kepada saingan Piala AFF terlebih dahulu namun ia juga boleh dianggap sebagai persiapan terbaik untuk mengenal pasti pemain-pemain yang mampu dikekalkan bagi menghadapi saingan tahun hadapan.

Gandingan pemain baru dan lama yang dimiliki ketika ini akan menjadi nilai tambah yang cukup baik untuk Pan-gon dan barisan kejurulatihan memastikan pasukan yang bakal beraksi di Piala Asia kelak adalah yang terbaik dan mampu memberi saingan kepada lawan yang akan dihadapi.

Dengan kualiti pemain yang ada, tidak mustahil Malaysia mampu melangkah lebih jauh daripada yang disangka.

Malaysia Boleh!