Tekanan untuk cemerlang di Piala AFF adalah normal bagi kami – Alexandre Polking

393

Ketua jurulatih pasukan Thailand, Alexandre Polking mengakui terdapat tekanan terhadap beliau dan pemainnya untuk beraksi dengan cemerlang dalam kejohanan Piala AFF 2022, namun mereka tidak tertekan sebaliknya berkata ia adalah perkara normal buat mereka.

“Pasukan Thailand sentiasa ada tekanan kerana kami adalah juara paling banyak dalam kejohanan ini termasuk kami adalah juara bertahan pada Piala AFF 2020.

Tapi bagi kami itu adalah tekanan yang normal kerana semua sedia maklum kami mempunyai reputasi yang cukup baik dalam rantau ini. Kami tahu dengan tekanan yang dihadapi tapi kami pilih untuk fokus pada kejohanan ini kerana perjalanan kami masih panjang dan tidak mudah,”

katanya.

Menurut Polking, walaupun menyedari tidak mempunyai laluan mudah tetapi beliau yakin dengan kualiti yang ada pada pemainnya untuk mengulangi lagi kejayaan dua tahun lalu.


Dalam perlawanan Kumpulan A sebentar tadi, Thailand tiada masalah untuk membelasah Brunei 5-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Skuad Gajah Perang membuka jaringan pada minit ke-19′ menerusi Bordin Phala dan Teerasil Dangda pada minit ke-44′ untuk menamatkan separuh masa dengan kedudukan selesa 2-0.

Separuh masa kedua, mereka terus melancarkan serangan demi serangan yang menyaksikan Thailand menguasai 80% perlawanan dan akhirnya berjaya menjaringkan tiga lagi gol iaitu pada minit ke-88′ Awangku Yura Indera Putera (Gol Sendiri) serta dua gol daripada Peeradon Chamratsamee pada minit ke-90+1′ (Penalti) dan minit ke-90+3′.

Dalam pada itu, Polking mengakui anak buahnya bermain dengan baik sekali dan telah mencipta deretan peluang iaitu sebanyak 33 percubaan dengan 16 percubaan tepat, namun banyak digagalkan oleh penjaga gol lawan, Haimie Abdullah Nyaring yang mempamerkan aksi cukup cemerlang.

Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan aksi keseluruhan pemainnya dan berharap selepas ini mereka akan lebih tajam apabila di hadapan gol.

Sementara itu, bagi kapten pasukan Theerathon Bunmathan pula, beliau memuji aksi cemerlang yang dipamerkan oleh penjaga gol Brunei itu yang banyak menyelamatkan percubaan berbahaya mereka.

“Perlawanan pertama kejohanan tidak mudah tapi kami gembira dapat jaringkan lima gol dan memperoleh tiga mata hari ini. Saya juga ingin memberi pujian kepada penjaga gol Brunei yang mempamerkan aksi cukup cemerlang dapat menafikan banyak percubaan daripada kami.

Brunei sebuah pasukan yang bagus tapi kami bermain dengan lebih baik dan kami berhak untuk menang pada malam ini.”

Bunmathan pada masa sama turut memuji rakan sepasukannya yang memberikan komitmen penuh ketika di atas padang dan berharap mereka dapat terus konsisten dalam perlawanan seterusnya.