Haimie Abdullah kecewa bolos 3 gol di penghujung perlawanan

607

Penjaga gol pasukan Brunei, Haimie Abdullah Nyaring mengakui berasa kecewa apabila mereka melepaskan tiga gol pada penghujung perlawanan sekaligus menyaksikan mereka tewas 5-0 di tangan Thailand dalam perlawanan Kumpulan A Piala AFF 2022.

“Sedikit kecewa kerana kita bertahan dengan cukup baik tetapi akhirnya kami bolos tiga gol dalam tempoh tujuh minit terakhir,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Brunei mempamerkan corak permainan bertahan yang cukup baik sekali apabila mereka berjaya menghalang pasukan Thailand menambah jaringan selepas mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.


Haimie menjadi pemain Brunei paling sibuk dan cemerlang apabila menyelamatkan lebih 10 percubaan tepat daripada pihak lawan, namun akibat terlalu keletihan di hujung separuh masa kedua mereka telah dihukum dengan tiga gol pantas pihak lawan.

Dalam pada itu, beliau juga enggan mengambil kredit apabila ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking dan kapten pasukan itu, Theerathon Bunmathan yang memuji aksi cemerlangnya apabila berjaya menyelamatkan deretan percubaan berbahaya mereka.

“Bagi saya ia bukan kerana saya seorang sahaja tetapi ia adalah hasil daripada kerja keras bersama rakan sepasukan.”

Brunei selepas ini akan menentang Filipina untuk perlawanan kedua peringkat kumpulan pada 23 Disember ini.