Zii Jia galas tanggungjawab besar wakili negara di Terbuka Malaysia 2023, berdepan laluan sukar seawal pusingan pertama

339

Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia kini cemerlang berada di kedudukan kedua dunia selepas berjaya mengumpul 82968 mata, dipisahkan 1,794 mata dengan wakil Singapura, Loh Kean Yew di tangga ketiga.

Pemain berusia 24 tahun tersebut akan menjadi sandaran utama negara di kejohanan Terbuka Malaysia 2023 yang akan membuka tirai saingan badminton dunia tahun hadapan.


Kejohanan yang dijadual berlangsung pada 10 sehingga 15 Januari ini bakal sekali lagi mengumpulkan pemain-pemain handalan dunia tatkala ia telah mencapai status Super 1000 pada kali ini.

Cabaran Zii Jia bermula seawal pusingan pertama selepas beliau diundi bertemu perseorangan Jepun, Kodai Naraoka.

Naraoka yang kini berusia 21 tahun merupakan antara pemain muda yang telah berjaya menunjukkan peningkatan luar biasa pada tahun ini.

Memulakan tahun 2022 di tangga ke-47 dunia, Naraoka cemerlang mendaki anak tangga sehingga berhasil menamatkan saingan tahun ini di kedudukan ke-10 dunia.

Malah, beliau kini menjadi pemain perseorangan lelaki pertama Jepun selepas prestasi yang agak hambar ditunjukkan oleh Kento Momota ketika ini.

Aksi mengecewakan dari Momota meletakkan beliau menjunam ke tangga ke-14 dunia pada ketika ini di belakang perseorangan kedua Denmark, Anders Antonsen.

Zii Jia nampaknya perlu menggunakan baki persiapan ini untuk mempersiapkan dirinya dari segi fizikal dan mental sebelum perlawanan berlangsung.

Jika hendak dibandingkan, tahun ini Naraoka tampak sedikit cemerlang berbanding Zii Jia memandangkan beliau berjaya layak ke perlawanan akhir sebanyak empat kali.

Beliau kecundang di tiga perlawanan akhir iaitu di Terbuka Taiwan, Terbuka Singapura dan Korea Masters sebelum bergelar juara di Terbuka Vietnam di mana beliau berjaya mengalahkan wakil China, Sun Fei Xiang di final dengan keputusan 10-21,21-14,21-17.

Zii Jia perlu segera bangkit untuk kembali membuktikan kemampuan sebenar kepada peminat setianya yang tidak pernah putus memberikan semangat kepada beliau.

Tahun ini, beliau tidak berjaya mencapai tahap terbaiknya setelah beberapa kali kecundang di peringkat awal saingan.

Pencapaian terbaik Zii Jia tahun ini adalah ketika merangkul gelaran juara di Kejohanan Badminton Asia serta Terbuka Thailand.

Beliau juga layak ke perlawanan akhir Terbuka Denmark namun terpaksa akur tewas di tangan pemain China, Shi Yu Qi.

Penampilan terakhirnya adalah di Terbuka Australia di mana Zii Jia terkandas di pusingan 16 selepas tewas kepada seorang lagi wakil China, Lu Guang Zu.