Tak jadi ambil Bojan Hodak, Lion City Sailors pilih Visto Ridakovic sebagai ketua jurulatih
Kelab Singapura, Lion City Sailors secara rasminya mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih Melaka United FC, Risto Vidakovic sebagai ketua jurulatih baru mereka bagi menggantikan Kim Do-hoon.
Jurulatih berusia 53 tahun itu akan memulakan tugasnya bersama kelab itu pada Januari 2023, kira-kira lapan bulan selepas meninggalkan Melaka United.
Namun, sebelum mencapai persetujuan bersama Vidakovic, naib juara Liga Singapura itu dilaporkan terlebih dahulu ‘meminang’ ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak.
Hodak sebelum ini dikhabarkan bakal meninggalkan kelab itu selepas membawa KL City menjadi naib juara Piala AFC musim ini, bagi mencari angin baru.
Mungkin faktor Lion City Sailors yang layak ke AFC Champions League (ACL) dan ketidakstabilan pengurusan KLFA selepas Pilihan Raya Umum baru-baru ini membuatkan beliau pada mula mempertimbangkan tawaran itu.
Namun, Hodak dilaporkan menolak tawaran Lion City Sailors gara-gara tidak mencapai persetujuan mengenai gaji.
Dengan beliau sudah pasti akan bersama KL City lagi musim depan, ia pasti satu perkara yang positif buat kelab itu.
Ini kerana, sejak mengambil alih KL City pada 2021, beliau berjaya membawa perubahan besar dalam prestasi kelab itu, dengan kejayaan paling manis adalah menjulang Piala Malaysia pada musim pertamanya.
Beliau juga berjaya membuat kejutan membawa KL City ke pentas akhir Piala AFC biarpun tewas kepada kelab Oman, Al-Seeb pada perlawanan akhir.
Walaupun tidak mempunyai bajet besar, beliau berjaya menjadikan KL City sebagai antara kelab yang memberi saingan terhadap kelab-kelab besar lain.
Sementara itu, walaupun tidak berjaya menarik Hodak, Lion City Sailors tetap mempunyai seorang jurulatih yang mempunyai reputasi baik dan berpengalaman dalam bola di Asia Tenggara.
Beliau sebelum ini pernah mengendalikan kelab Filipina, Ceres-Negros, kelab Indonesia, Borneo Samarinda dan juga Melaka United.
Vidakovic pernah membawa Ceres-Negros menjadi juara Liga Filipina selama tiga musim berturut-turut selain menjadi juara Zon ASEAN pada Piala AFC 2017.
Jurulatih dari Serbia itu juga pernah menjadi juara liga bersama kelab Maldives, Maziya pada musim 2020/21.
Namun sentuhannya tidak menjadi bersama Melaka United apabila hanya mencatatkan satu seri dalam empat perlawanan liga, menyebabkan beliau diberhentikan.
Sebelum beliau dipecat, Vidakovic pernah bersuara mengenai masalah tunggakan gaji yang dikatakan menjadi punca anak-anak buahnya tidak mempunyai motivasi untuk bermain, sekaligus menjadi punca prestasi buruk Melaka United awal musim ini.
Kelantangannya bercakap mengenai perkara itu kepada umum juga dikatakan menjadi salah satu sebab beliau ditamatkan khidmat lebih awal.
Lion City Sailors baru-baru ini dilaporkan mempunyai masalah kewangan kerana pemiliknya, Sea Limited telah mengalamai kerugian yang besar tahun lalu.
Kelab itu juga telah melepaskan beberapa pemain senior seperti Gabriel Quak, Faris Ramli, Shahdan Sulaiman dan Hassan Sunny sebagai rombakan untuk musim baru.
Jika isu sama yang berlaku kepada Melaka United turut melanda Lion City Sailors, Vidakovic nampaknya agak tidak bernasib baik kerana terpaksa melalui masalah sama sekali lagi.
Namun kali ini beliau mungkin perlu lebih berhati-hati dalam bersuara jika tidak mahu tempohnya di Lion City Sailors berakhir dengan cepat seperti di Melaka United.