Pemain dari Jepun terus dapat perhatian kelab dari liga Jerman

624

Tidak dapat dinafikan sejak lima tahun kebelakangan ini pasukan-pasukan dari kelab yang beraksi dalam saingan liga Jerman iaitu Bundesliga dan Bundesliga 2 banyak memberi perhatian kepada pemain dari Jepun.

Ketika ini boleh dikatakan puluhan pemain dari Jepun beraksi di kedua-dua liga di Jerman tersebut dan terbaru seorang lagi pemain muda dari Jepun iaitu Shio Fukuda menjadi pemain terbaru yang dibeli oleh kelab Borussia Monchengladbach.


Kelab yang beraksi di Bundesliga itu menandatangani pemain berusia 18 tahun itu daripada Sekolah Tinggi Kamimura dan dijangka akan menyertai skuad B-23 Monchengladbach bermula 15 Januari 2023.

Fukuda dilaporkan turut mendapat beberapa tawaran daripada kelab yang beraksi di J League tetapi lebih memilih untuk berkelana ke Eropah melihat peluang untuk meningkatkan lagi karier bola sepaknya.

Pemain kebangsaan Jepun, Ko Itakura juga kini bermain untuk skuad utama Monchengladbach selepas beliau dipinjamkan dari Schalke 04.Ko Itakura

Keputusan Fukuda ini perlu dijadikan contoh kepada semua pemain muda termasuk pemain di Malaysia supaya keluar dari zon selesa untuk meningkatkan lagi kualiti permainan mereka dan bukannya sekadar mahu main di negara sendiri sahaja kerana gaji yang lumayan.

Sikap pemain Jepun yang mengambil peluang beraksi di liga Eropah telah membuahkan hasil apabila melihat ramai pemain-pemain mereka mencipta nama di sana dan ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan Jepun.

Ia dapat dilihat pada skuad Jepun yang beraksi di Piala Dunia 2022 di Qatar baru-baru ini yang menyaksikan sebanyak lapan pemain beraksi di Bundesliga.

Antara pemain tersebut adalah Maya Yoshida (Schalke 04), Hiroki Ito (VfB Stuggart), Wataru Endo (VfB Stuggart), Ritsu Doan (SC Freiburg), Daichi Kamada (Eintracht Frankfurt), Ao Tanaka (Fortuna Dusseldoft) dan Takuma Asano (VfL Bochum).

Selain liga Jerman, ada juga pemain Jepun yang beraksi di English Premier League, La Liga dan beberapa lagi liga di Eropah lain termasuk liga tempatan J League.