Jordi Amat tak sabar beraksi depan 30,000 penyokong Indonesia, bakal jadi watak penting Garuda di Piala AFF
Indonesia akan memulakan kempen Piala AFF pada Jumaat dengan sedikit ‘tempang’ selepas beberapa pemain utamanya tidak dapat ikut sama dalam kejohanan itu.
Menurut senarai yang dikeluarkan oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), dua pemain yang bermain di Eropah yang ditunggu-tunggu para penyokong iaitu Elkan Baggott dan Sandy Walsh yang baru sah menjadi warga negara Indonesia bulan lalu tidak akan menyertai skuad kali ini.
Seorang lagi pemain naturalisasi, Jordi Amat yang bermain untuk kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bagaimanapun sah akan memperkuatkan pasukan itu pada edisi kali ini.
Walsh dan Amat kedua-duanya mendapatkan kerakyatan Indonesia pada bulan lalu selepas melalui beberapa proses yang ditetapkan.
Walaupun tanpa Baggott dan Walsh, kehadiran Amat dilihat penting berdasarkan pengalamannya bermain di tahap tertinggi bersama beberapa kelab Eropah seperti Espanyol, Swansea City, Rayo Vallecano dan Real Betis.
Penyokong juga sudah tidak sabar menyaksikan debut pemain itu bersama pasukan kebangsaan selepas diberikan kerakyatan.
Pemain berusia 30 tahun itu meluahkan keterujaannya untuk mewakili Indonesia buat kali pertama dalam kejohanan Piala AFF, terutama selepas penyokong dibenarkan untuk hadir ke stadium.
Pihak berkuasa akhirnya membenarkan 30,000 penyokong untuk hadir ke Stadium Gelora Bung Karno untuk perlawanan Piala AFF walaupun sebelum ini terdapat keraguan mengenai kehadiran penyokong.
Dengan ketiadaan Baggott, Amat dilihat bakal menjadi pilihan pertama buat Indonesia di bahagian pertahanan tengah, yang turut menampilkan pemain lain iaitu Fachruddin Aryanto, Rizky Ridho dan Hansamu Yama.
Amat juga nampaknya sangat yakin dengan persiapan pasukan itu dalam percubaan untuk meraih Piala AFF buat kali pertama.
Walaupun baru sebulan menjadi warganegara Indonesia, semangat yang ditunjukkan oleh pemain itu jelas begitu tinggi.
Beliau dijangka membuat penampilan pertama untuk Indonesia menentang Kemboja pada Jumaat ini.
Dengan semangat yang ditunjukkan olehnya, Amat mungkin menjadi salah satu watak penting untuk Indonesia pada edisi kali ini.