Teka teki PJ City terjawab, Shah Alam City kini di proses akhir ambil alih
Isu pengambil alihan PJ City tampak akan selesai tidak lama lagi selepas difahamkan pemilik baru kini sudah melalui proses akhir termasuk perbincangan dengan Malaysian Football League (MFL).
Dijangka akan ada satu pengumuman rasmi bakal dibuat oleh pihak MFL bagi mengumumkan perkara ini.
Seperti yang sedia maklum, pihak yang bakal mengambil alih PJ City pada musim depan adalah pasukan Shah Alam City FC.
Namun, perkongsian-perkongsian yang dikeluarkan oleh beberapa media sebelum ini dilihat sedikit tidak tepat memandangkan ada beberapa pasukan bola sepak yang menggunakan nama seakan sama.
Sebagai makluman kepada semua, pasukan ini baru sahaja ditubuhkan pada tahun ini dan dipimpin oleh dua pemilik iaitu seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman serta seorang lagi individu yang dikenali sebagai Muhammad Ikhram Abdullah.
Kedua-dua individu ini mempunyai pengalaman yang cukup luas di dalam arena bola sepak Malaysia.
Penyokong bola sepak Kelantan semestinya mengenali Datuk Seri Amril Aiman yang sebelum ini pernah memegang jawatan penting di dalam Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Pada tahun 2019, beliau pernah menawarkan diri untuk menerajui kepimpinan badan bola sepak tersebut daripada Presiden ketika itu, Bibi Ramjani.
Tidak kurang hebatnya untuk seorang lagi pemilik iaitu Ikhram yang juga mempunyai reputasi tersendiri.
Terdahulu, beliau merupakan salah seorang bekas ahli pengurusan tertinggi kelab Liga M3, PIB FC.
Penglibatan aktif beliau telah berjaya memacu kelab tersebut untuk beraksi cemerlang sekaligus bergelar juara untuk saingan Liga M3 musim ini.
Selain itu, beliau juga pernah menguruskan beberapa kelab yang memenangi kejohanan-kejohanan tempatan seperti Liga Super FAS, Liga M4 serta Liga M5.
Bagi tempoh setahun pertama pengambil alihan, pihak pengurusan akan mengekalkan nama PJ City terlebih dahulu seperti mana yang dinyatakan sebelum ini.
Pada masa yang sama, mereka akan melakukan perubahan dari segi identiti terutama sekali dari aspek nama dan logo secara berperingkat.
Shah Alam City juga akan lebih menumpukan kepada proses pembangunan bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan.
Untuk saingan Liga Super, difahamkan mereka telah melalukan pembelian pemain bagi memperkuatkan pasukan memandangkan hampir keseluruhan wajah asal PJ City telah dipancing oleh kelab lain.
Mereka juga telah melakukan pemilihan selama tiga hari yang akan berakhir esok (22 Disember) untuk mengenal pasti pemain-pemain yang boleh dibawa masuk termasuk bagi menghadapi saingan Liga Simpanan B-23 musim depan.
Seperti yang kami pernah kongsikan sebelum ini, mereka juga bakal mendapatkan khidmat ketua jurulatih berpengalaman, B Sathianathan untuk membimbing skuad utama.
Ini akan memberi peluang kepada jurulatih berusia 64 tahun tersebut kembali ke kancah Liga Malaysia selepas berundur seketika ekoran daripada masalah kesihatan yang dihadapi sewaktu mengendalikan Sarawak United.
Sathianathan pernah berjaya memenangi beberapa kejuaraan seperti Piala Malaysia ketika bersama Kelantan FA serta Liga Perdana bersama ATM dan Felda United.
Kehadiran beliau ternyata akan memberi impak yang positif bagi penstrukturan semula serta pengukuhan kelab ini selepas diambil alih oleh pengurusan baru.