Gambar Lionel Messi julang Piala Dunia catat rekod ‘like’ terbanyak di Instagram, pintas rekod dipegang gambar telur

972

Kehangatan Argentina menjulang Piala Dunia baru-baru ini masih terasa hingga ke hari ini selepas menamatkan kemarau 36 tahun.

Pemain yang menjadi tumpuan pastinya kapten, Lionel Messi yang turut mencatat sejarah dalam kejohanan tersebut, menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam setiap perlawanan kalah mati di Piala Dunia serta pemain pertama yang meraih anugerah pemain terbaik kejohanan sebanyak dua kali, kali pertama pada edisi 2014 di Brazil.


Bukan sahaja rekod di dalam padang, beliau turut mengukir rekod di luar padang apabila hantaran Instagramnya meraikan kejayaan memenangi Piala Dunia kini menjadi gambar dengan ‘like’ yang paling banyak di platform itu.

Sebelum ini, rekod tersebut dipegang oleh gambar sebiji telur pada 2019 yang dimuatnaik di laman Instagram @world_record_egg.

Walaupun ia tiada kena mengena dengan pencapaian dalam bola sepak, ia menunjukkan betapa luas pengaruh yang dimiliki pemain itu serta betapa besar kejayaannya itu untuk seluruh peminat bola sepak dunia.

Di Malaysia, bola sepak juga merupakan sukan paling popular dan sering mendapat perhatian terutama apabila pasukan kebangsaan beraksi.

Ketika ini, Malaysia sedang menempuhi saingan Piala AFF, di mana misi menamatkan kemarau 12 tahun sejak 2010 mendakap trofi itu buat kali pertama.

Sekiranya Malaysia berjaya memenangi kejohanan itu pada edisi kali ini, sudah tentu ia akan menjadi sejarah baru buat negara.

Lebih-lebih lagi dengan segala ‘masalah’ yang timbul sejak panggilan ke kem latihan, dengan beberapa pemain yang menolak panggilan.

Ia juga akan menjadi sejarah buat Kim Pan-gon menjadi jurulatih luar negara pertama yang berjaya menjulang trofi itu bersama Malaysia.

Sekiranya Malaysia mencatat sejarah menjulang trofi itu buat kali kedua pada Januari 2023, mampukah gambar pasukan negara menjulang piala itu boleh mencatat rekod seperti gambar Messi?

Bukanlah menjadi gambar dengan ‘like’ paling banyak di dunia, tetapi sekadar di Malaysia sudah cukup membanggakan.

Apa-apa pun, sudah pasti sejarah harus dicipta terlebih dahulu dengan meraih piala tersebut kali ini, dan ‘membalas dendam’ kempen yang mengecewakan tahun lalu apabila pulang awal di peringkat kumpulan.