Kim Pan-gon akui corak permainan pemainnya kurang cantik tapi lega mereka berjaya menang menentang Myanmar

2,094

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon mengakui corak pemainan pemainnya pada perlawanan malam tadi menentang Myanmar kurang cantik tetapi lega apabila mereka berjaya mengutip tiga mata penuh.

Dalam perlawanan Kumpulan B Piala AFF 2022, skuad Harimau Malaya berjaya menewaskan pasukan tuan rumah 1-0.


“Pertama sekali saya ingin ucapkan tahniah kepada pemain Harimau Malaya kerana berjaya kutip 3 mata. Ia perlawanan yang sangat sukar apabila terpaksa bermain dalam keadaan padang seperti ini dan kami juga sudah sedia maklum perlawanan ini akan menjadi sukar kerana tiada siapa yang mahu tewas di hadapan keluarga dan peminat sendiri.

Kita tahu pemain lawan akan memberi tekanan dan pemain kita berjaya menyerap tekenan tersebut. Persembahan kami kurang cantik kerana Myanmar mengawal perlawanan tapi kami berjaya menang perlawanan pertama di tempat lawan. Ia adalah satu permulaan yang bagus,”

katanya.

Pan-gon pada masa sama juga berkata sasaran mereka untuk memperoleh kemenangan berjaya dicapai tetapi enggan berasa selesa sebaliknya akan terus fokus untuk membuat persiapan untuk perlawanan kedua menentang Laos.

Beliau turut mengakui terdapat kelemahan dalam pasukan dan beliau dan barisan kejurulatihan akan melihat dan membuat penilaian untuk cuba memperbaiki segala kelemahan dalam masa terdekat ini.

“Kami tahu akan berdepan tugas sukar tapi pada masa sama saya yakin dengan kemampuan pemain saya untuk mengekang segala serangan yang dilakukan. Apa yang berlaku pada penghujung perlawanan (Myanmar dihadiahkan penalti) saya tidak mahu menuding jari kesilapan pemain kerana perkara seperti ini adalah sebahagian daripada perlawanan.”

Dalam pada itu, wira buat skuad negara pada malam tadi adalah penjaga gol Syihan Hazmi yang berjaya menepis sepakan penalti pemain Myanmar pada penghujung perlawanan bagi memastikan tuan rumah tidak mendapat sebarang mata.

Syihan bagaimanapun enggan mengambil kredit atas kejayaan menyelamatkan sepakan penalti tersebut sebaliknya berjaya ia adalah hasil usaha sepasukan.

“Alhamdulillah, kemenangan ini adalah rezeki buat kami dan kredit kepada kesemua barisan kejurulatihan, teknikal dan juga rakan sepasukan. Apa yang penting adalah kita berikan komitmen 100% di atas padang.”

Tambahnya, kemenangan pada malam ini akan menjadi pembakar semangat buat dirinya dan rakan sepasukan untuk terus konsisten sepanjang kejohanan ini supaya mereka dapat mara sehingga ke peringkat akhir.

Selepas ini Malaysia akan menentang Laos pada perlawanan kedua pada 24 Disember ini yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.