Kogileswaran Raj sahkan dapat tawaran daripada luar negara tapi enggan dedah butiran lanjut lagi

1,307

Bekas pemain PJ City FC, Kogileswaran Raj mengakui menerima tawaran daripada beberapa kelab di luar negara untuk mendapatkan khidmatnya untuk musim depan, namun beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara itu.

Ini kerana menurut Kogileswaran, beliau hanya akan membuat pengumuman mengenai kelab barunya itu setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan.


“Ya memang ada tawaran daripada dua negara tapi saya belum boleh dedahkan lagi kerana masih belum finalised lagi. Saya juga masih lagi di peringkat rundingan dan belum membuat sebarang keputusan lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau pada masa sama turut mengakui turut mendapat tawaran daripada beberapa kelab dari Liga Super.

Sebelum ini, terdapat ciapan daripada wartawan sukan terkemuka, T. Avineshwaran yang mengatakan pemain berusia 24 tahun itu kini sedang dirisik oleh Penang FC dan Selangor FC, tetapi Kogileswaran dikatakan telah membuat keputusan untuk berhijrah ke luar negara.

Kogileswaran yang ditanya mengenai kelab dari negara manakah yang mahu mendapatkan khidmatnya, beliau sekali lagi enggan mendedahkan negara tersebut tetapi berkata kelab itu berpengkalan di Asia.

Dalam pada itu, menurut satu sumber yang boleh dipercayai, Kogileswaran dikatakan akan bermain di kelab yang mana negara tersebut beraksi di Piala Dunia 2022 Qatar baru-baru ini.

Terdahulu, Kogileswaran terpaksa dilepaskan oleh PJ City selepas pengurusan tertinggi kelab itu mengambil keputusan untuk menarik diri dari saingan Liga Malaysia dek penstrukturan liga yang dilakukan oleh Malaysian Football League (MFL) pada musim hadapan.

Sementara itu, Kogileswaran akur dengan keputusan ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon yang menggugurkan namanya untuk ke kejohanan Piala AFF 2022 kali ini.

“Jurulatih ada pilihan mereka untuk pemain yang sesuai dengan taktikal mereka dan saya tiada dalam perancangan pasukan. Memang saya sedih tak dapat sarung jersi kebangsaan tapi saya ambil perkara ini dari sudut positif untuk saya bekerja dengan lebih keras lagi supaya dapat lagi panggilan pada tahun depan.”