Edgar Baldasso beri ‘hint’ kemasukan pemain import baru Selangor MAC seawal Januari
Ketua jurulatih baru Selangor MAC, Edgar Baldasso mengakui bahawa pasukannya tidak akan ketinggalan memanfaatkan penambahan kuota pemain import yang telah diperkenalkan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim depan.
Untuk saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) tahun depan, FAM membenarkan kemasukan satu lagi pemain import daripada Asia.
“Saya memahami yang ketika ini kita menghadapi sedikit masalah dan ia perkara biasa, mungkin dalam awal Januari pemain import kedua akan tiba di sini.”
Ketika ini, mereka memiliki seorang pemain import yang dikekalkan dari musim lepas, Matheus Vasconcelos atau lebih dikenali sebagai Ceara dari Brazil.
Dalam pada itu, Edgar tidak merasa tertekan meskipun sebahagian besar pemain utama yang telah membantu Selangor MAC musim lalu telah meninggalkan pasukan.
Beliau percaya kehadiran pemain-pemain yang jauh lebih muda ini mampu menghasilkan sesuatu yang mengujakan pada cabaran selepas ini.
“Ia adalah tahun dan musim baru, pasukan muda secara dasarnya mempunyai kelebihan dari segi kelajuan.
Kami perlu menggabungkan perkara ini dengan pengalaman pemain dan saya ingin menunggu untuk liga bermula terlebih dahulu kerana ia berbeza bagi kita melihat lebih banyak perkara yang baru.”
Beliau juga tidak gentar dengan kehadiran gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim yang telah mengumumkan penyertaan mereka pada saingan 2023.
Edgar melihat perkara ini sebagai satu situasi yang akan memberi impak positif kepada pembangunan sukan futsal di Malaysia.
“Ia baik, saya rasa ia penting untuk kelab baru dan besar menyertai MPFL.
Saya tahu tahun ini kita akan ada sebuah kelab yang besar akan menyertai MPFL, ia adalah bagus untuk futsal bertambah baik dan akan membuatkan kelab lain bertambah baik.”
Edgar menyertai Selangor MAC secara rasmi pada 20 November yang lalu selepas beliau meninggalkan bekas kelabnya, Carlos Barbosa Futsal dari Brazil yang pernah beberapa kali menjuarai kejohanan Kelab Futsal Amerika Selatan.
Pengalaman yang dimiliki olehnya mampu membantu pasukan Selangor MAC untuk mengekalkan dominasi mereka terutama sekali dalam meneruskan rentak kejuaraan yang dicapai selama ini.