Ceara lihat kehadiran pemain muda di Selangor MAC sebagai kelebihan, mudah untuk jurulatih terapkan corak permainan baru
Pemain import Selangor MAC, Matheus Vasconcelos atau lebih mesra dengan panggilan Ceara tidak menganggap kehilangan pemain-pemain utama sebagai satu kerugian buat pasukan malah beliau yakin ia juga mampu memberikan kelebihan kepada jurulatih baru, Edgar Baldasso dari Brazil.
Terdahulu, Selangor MAC telah melepaskan sebilangan besar bintang utama mereka seperti penjaga gol, Hadee Taufiq dan Muhd Ekmal.
“Saya dapat melihat ia sebagai satu cabaran untuk kami dan ia adalah perkara yang bagus.
Saya percaya dengan kelab ini, kehadiran lebih ramai pemain muda adalah bagus untuk jurulatih baru kerana lebih mudah untuk dia menerapkan benda baru berbanding pemain-pemain lama,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Ceara juga menganggap kemasukan Edgar sebagai satu penambahbaikan yang cukup baik buat kelab ini jurulatih tersebut memiliki pengalaman yang cukup luas di pentas futsal antarabangsa terutama sekali sewaktu membimbing bekas kelabnya, Carlos Barbosa Futsal.
Pemain perlu membiasakan diri dengan corak latihan yang baru dan lebih mencabar sebelum saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim baru bermula.
“Latihan sekarang lebih hampir sama dengan Brazil di mana ia mempunyai liga yang lebih besar dan kuat.
Sekarang kami berpeluang belajar menjadi seperti mereka.”
Pada masa yang sama, Ceara menyambut baik kehadiran pencabar terbaru, Johor Darul Ta’zim pada musim depan.
Meskipun dikatakan telah memborong kebanyakan pemain Selangor MAC, Ceara tetap positif bahawa penglibatan kelab tersebut akan menjulang kualiti futsal di Malaysia ke tahap yang jauh lebih baik selepas ini.
“Ia sangat bagus untuk Malaysia dan semua pihak yang bermain di MPFL kerana JDT sememangnya memiliki reputasi yang hebat di dalam bola sepak.
Mereka akan menjadi lawan yang kuat di futsal juga, cabaran seperti ini akan membantu untuk meningkatkan kualiti futsal di Malaysia.”