Muka baru Selangor MAC, Aidil Shahril letak sasaran raih gelaran penjaring terbanyak musim 2023
Pemain baru Selangor MAC, Aidil Shahril memasang impian peribadi untuk saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim 2023.
Beliau yang sebelum ini bersama Selangor TOT United percaya bahawa dengan reputasi yang dimiliki oleh kelab barunya ini mampu untuk merealisasikan hajatnya tersebut.
“Pasukan ini tampak lebih profesional dan lebih baik berbanding kelab-kelab yang pernah saya sertai sebelum ini.
Saya harap dapat mencapai sasaran menjadi penjaring terbanyak bersama kelab ini,”
kataya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Aidil juga mengakui masih dalam proses untuk cuba menyesuaikan diri dengan gandingan rakan sepasukannya yang baru.
Namun, ia dilihat tidak akan mengambil masa terlalu lama kerana kebanyakan pemain yang dimiliki Selangor MAC pernah beraksi bersama Aidil ketika mewakili pasukan kebangsaan.
“Adalah sedikit tekanan kerana untuk membiasakan diri dan serasi bersama rakan sepasukan yang baru.
Itu adalah salah satu cabaran ketika ini.”
Pada masa yang sama, Aidil juga mengakui bahawa beliau berasa cukup gembira berada di bawah kendalian ketua jurulatih dari Brazil, Edgar Baldasso ketika ini.
Meskipun baru menyertai pasukan, pemain tersebut tidak mempunyai sebarang masalah untuk membiasakan diri dengan gaya latihan yang diterapkan oleh jurulatih tersebut.
“Selesa dengan sistem latihan jurulatih, mudah faham dan senang untuk diikuti.”