Mbappe kembali ke PSG tiga hari lepas ‘final’ Piala Dunia, gambaran tepat sebuah mesin yang tak perlukan rehat

8,692

Walaupun sudah lama panggilan kem kebangsaan untuk Piala AFF berlalu, nampaknya masih ada penyokong yang tidak ‘move on’ dengan tindakan beberapa pemain yang menolak untuk menyertai skuad kali ini.

Ramai juga yang masih membangkitkan mengenai isu ‘mesin’ dan terus mempertikaikan pemain-pemain yang menolak panggilan kebangsaan.


Umum mengetahui bahawa kebanyakan pemain-pemain yang menolak panggilan tersebut adalah daripada Johor Darul Ta’zim (JDT), iaitu seramai 11 orang.

Baru-baru ini, seorang netizen di Twitter ada membandingkan pemain Perancis, Kylian Mbappe yang pulang ke PSG beberapa hari selepas perlawanan akhir Piala Dunia dan pemain-pemain yang menolak kem kebangsaan.

Dia turut menyebut nama pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menarik perhatian baginda.

TMJ kemudiannya membalas dengan menyatakan bahawa kedua-dua situasi berkenaan adalah tidak sama, di mana bintang Perancis itu telah bermain untuk separuh musim pertama dan berehat untuk tugasan negara bagi pertandingan di bawah kalendar FIFA, dan sekarang menyambung kembali bermain untuk separuh lagi musim dan barulah bercuti selepas tamat musim.

Dalam kes Mbappe pula, beliau difahamkan sudah diberikan rehat oleh pihak pengurusan kelab namun mengambil keputusan untuk kembali berlatih di kelab dengan lebih awal.

Sememangnya beliau layak untuk mendapat rehat yang mencukupi sebelum pulang ke kelab selepas bermain seluruh perlawanan pada Piala Dunia, terutama bermain sehingga penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir tempoh hari dengan intensiti yang amat tinggi.

Untuk membandingkan kedua-dua situasi itu mungkin tidak tepat kerana Ligue 1 ketika ini masih berjalan sedangkan Liga Malaysia sudahpun tamat ketika sesi latihan Harimau Malaya berlangsung.

Satu lagi kelainan adalah kejohanan Piala AFF tidak dianjurkan dalam kalendar FIFA manakala Piala Dunia pula adalah kejohanan yang dianjurkan oleh badan induk itu.

Namun, kepulangan awal Mbappe bersama kelab membuktikan bahawa beliau mempunyai mentaliti yang begitu tinggi, dan walaupun kecewa tewas pada perlawanan akhir, beliau tiada masa untuk bersedih.

Bak kata peminat bola sepak tempatan, mungkin beliau adalah gambaran sesuai seorang pemain bola sepak yang bukan dari kalangan manusia, tetapi sebuah mesin.