Diganggu panggilan ‘misteri’ pukul 4 pagi di hotel, Keisuke Honda dakwa Indonesia cuba ganggu tidur pasukan Kemboja

4,430

Salah satu pasukan ‘underdog’ Piala AFF, Kemboja memulakan kempen dengan langkah kanan selepas mengejutkan Filipina 3-2 Selasa lalu.

Pasukan yang digelar Angkor Warriors itu bakal berdepan cabaran sebenar pada perlawanan kedua Jumaat ini apabila berdepan salah satu pasukan pilihan, Indonesia.


Skuad Kemboja ketika ini sudah berada di Indonesia menjelang perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno itu.

Pengurus pasukan, Keisuke Honda mendedahkan pengalaman buruk yang dilalui olehnya ketika menginap di hotel menjelang perlawanan berkenaan.

Beliau yang juga merangkap jurulatih pasukan meluahkan ketidakpuasan hatinya di Twitter mengenai gangguan yang dihadapi olehnya di mana beliau terjaga pada pukul 4 pagi sebanyak dua kali gara-gara panggilan ‘misteri’ kepada telefon yang berada di biliknya.

Katanya, kedua-dua panggilan tersebut dimatikan sebelum beliau sempat menjawabnya, dan mengaggap ia adalah ‘layanan’ biasa apabila bertandang ke gelanggang lawan.

Honda berkata, beliau pernah melalui ‘gangguan’ seumpama ini ketika berkunjung ke Timur Tengah.

Tambahnya, beliau akan memberitahu kepada para pemain mengenai perkara itu memandangkan esok merupakan perlawanan penting buat mereka.

Sekiranya dakwaan itu benar, ia merupakan satu ‘taktik’ yang kotor untuk melemahkan mental pihak lawan.

Walaupun hanyalah pasukan ‘underdog’, ternyata persembahan ketika menentang Filipina itu berjaya membuatkan pasukan lain membuka mata akan kemampuan mereka.

Indonesia ketika ini masih lagi belum melalui perlawanan pertama Piala AFF dan menduduki tangga ketiga kumpulan A.

Memandangkan pasukan Kemboja melakukan kejutan menewaskan Filipina sebelum ini, mereka tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan itu dan harus mendapatkan tiga mata penuh menewaskan mereka.

Selain Indonesia dan Kemboja, kumpulan A turut dibarisi juara bertahan, Thailand serta Brunei dan Filipina.