Dion Cools dikaitkan dengan Buriram United, beri petanda perpindahan Syihan ke JDT bakal jadi realiti, sedih atau gembira buat penyokong Harimau Selatan?

2,076

Pemain kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools yang kini beraksi bersama kelab Republic Czech, FK Jablonec dikhabarkan bakal beralih arah ke Thailand untuk menyertai pasukan Buriram United.

Perkhabaran yang dikongsikan oleh beberapa media Thailand nyata menggembirakan peminat Buriram United yang melihat Cools sebagai pemain yang cukup berkualiti dan mampu membantu pasukan tersebut.


Namun, ia juga boleh dikatakan sebagai sebuah berita yang agak sedih buat peminat pasukan gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim FC tatkala sebelum ini pemain tersebut dikatakan bakal menjadi pembelian terbaru bagi memperkuatkan skuad musim hadapan.

Tambahan pula, pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) sendiri yang telah mengeluarkan kenyataan untuk membawa masuk Cools seawal 2023 sekiranya pemain tersebut tidak mempunyai kontrak bersama mana-mana kelab.

Masa depan Cools kini masih menjadi tanda tanya kerana kontraknya yang baru sahaja bermula pada September lalu bersama FK Jablonec akan berakhir pada 31 Disember ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa Cools sememangnya memiliki kualiti permainan yang cukup baik sebagai seorang pertahanan yang juga mampu beraksi di bahagian tengah.

Perpindahan beliau ke mana-mana pasukan semestinya memberikan kelebihan yang cukup besar memandangkan pengalamannya beraksi di pentas tertinggi seperti UEFA Champions League (UCL) sebelum ini.

Cools kini telah diturunkan sebanyak lapan kali dalam saingan Liga Fortuna serta berjaya membuat dua penampilan dalam kejohanan MOL Cup termasuk sewaktu menjaringkan satu gol di pusingan kedua bertemu Motorlet Prague yang berakhir dengan kemenangan 4-0.

Pada masa yang sama, perkhabaran Cools ke Thailand ini juga menguatkan lagi kemungkinan untuk kita melihat perpindahan penjaga gol negara, Syihan Hazmi ke Harimau Selatan menjadi realiti sepertimana yang hangat diperkatakan sebelum ini.

Terdahulu, TMJ telah memberitahu menerusi satu video bual bicara yang dimuat naik di platform media sosial rasmi pasukan bahawa JDT akan membawa masuk satu sahaja pemain tempatan untuk musim hadapan.

Syihan buat masa ini masih bergelar sebagai ejen bebas kerana beliau tidak mengikat kontrak dengan mana-mana kelab setakat ini selepas dilepaskan oleh bekas kelabnya, Negeri Sembilan FC.

Ketangkasan Syihan setiap kali beraksi mampu menjadi tonik tambahan serta memeriahkan lagi persaingan buat pasukan JDT dalam memperkemaskan lagi pilihan penjaga gol sedia ada seperti Farizal Marlias dan Haziq Nadzli.

Penjaga gol berusia 26 tahun tersebut ketika ini sedang menjadi sandaran utama skuad negara di bawah kendalian Kim Pan-gon dalam saingan Piala AFF 2022.

Beliau telah berjaya mempamerkan aksi yang cukup cemerlang di perlawanan pertama peringkat kumpulan bertemu Myanmar untuk menepis segala percubaan lawan termasuk menggagalkan sepakan penalti yang diberikan pada hujung perlawanan.