‘Posting’ Faisal Halim tuntut hak timbulkan tanda tanya, tapi pada siapa?

4,663

Pemain sensasi negara, Faisal Halim atau lebih mesra dikenali sebagai Mickey baru sahaja mengeluarkan sebuah hantaran di akaun Twitter peribadinya yang telah menimbulkan tanda tanya dari ramai pihak.

Hantaran tersebut mengandungi sebuah kenyataan serta permintaan untuk ‘pihak’ tersebut berlaku adil dan memulangkan semula hak yang sepatutnya dimiliki oleh Mickey.


Beliau juga mempersoalkan tindakan ‘pihak’ tersebut yang seakan-akan melakukan tindakan melampai bidang kuasa sehingga melanggar perjanjian yang telah termaktub di dalam melebihi kontrak perjanjian sebagaimana yang ditulis oleh Mickey sendiri.

Mickey yang pada ketika ini menggalas cabaran bersama skuad negara di kejohanan Piala AFF 2022 baru sahaja diumumkan sebagai pemain baru pasukan Selangor FC pada musim depan.

Beliau sebelum ini dilihat mengalami beberapa permasalahan dalaman bersama bekas majikannya mengikut kepada beberapa perkongsian yang dilakukan menuju ke penghujung musim terutama sekali sewaktu bersaing di Piala Malaysia.

Keadaan ini memberi kesan yang cukup besar sehingga menyebabkan Mickey akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan tersebut meskipun telah menjadi antara sandaran utama pada musim ini.

Dengan konflik yang terjadi sebelum ini, berkemungkinan besar kenyataan ini ditujukan secara tidak langsung kepada ‘pihak’ tersebut.

Namun, tidak ada sebarang kepastian yang mampu dilakukan melihat kepada tiada apa-apa kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak.

Harapnya perkara sebegini dapat dibawa terus ke pihak yang lebih tepat seperti Malaysian Football League (MFL) atau Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi memastikan hal ini tidak berlanjutan dan dapat diselesaikan dengan kadar yang segera.

Sewajarnya setiap pengurusan pasukan dapat memastikan kesemua hal-hal yang termaktub di dalam kontrak terutama sekali pembayaran gaji dapat dipenuhi tatkala para pemain telah memberikan sepenuh tenaga untuk membantu kelab.

Semoga perkara ini tidak menjejaskan fokus Mickey bersama skuad kebangsaan untuk memastikan beliau dapat terus memberikan aksi yang terbaik dalam merealisasikan impian peminat melihat Harimau Malaya dapat mara lebih jauh di Piala AFF kali ini.

Mickey telah muncul wira negara selepas beliau berjaya menyumbat masuk gol kemenangan pada aksi pertama peringkat kumpulan menentang Myanmar pada 21 Disember lalu.

Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon akan terus menagih kelincahan Mickey pada aksi kedua bertemu Laos yang dijadual berlangsung esok hari (24 Disember).