Tiada pemain JDT pun pasukan Malaysia cukup baik untuk jadi pencabar utama kejuaraan Piala AFF 2022 – Michael Weiss

1,801

Ketua jurulatih pasukan Laos, Michael Weiss mengakui kehebatan pasukan Malaysia walaupun skuad yang dibawa untuk kejohanan Piala AFF 2022 kali ini tidak dibarisi 12 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).

Weiss berkata demikian apabila pasukannya akan menentang Malaysia pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF 2022 esok (24 Disember) di Stadium Nasional Bukit Jalil.


“Jika anda hilang ramai pemain JDT dan masih lagi mampu membentuk sebuah skuad kuat seperti ini ia adalah bukti kualiti liga, tahap profesionalisme dan juga pembangunan akar umbi sehingga ke peringkat tertinggi menyaksikan Malaysia semakin baik. Jadi ia jelas memperlihatkan Malaysia adalah pencabar utama Vietnam untuk kejuaraan kali ini,”

katanya.

Beliau juga mengakui mengikuti rapat perkembangan bola sepak Malaysia rapat sejak 10 tahun lalu dan hampir mendapat tawaran kerja sebagai pengendali skuad B-23 negara untuk kejohanan Sukan SEA 2015, namun tidak kesampaian.

Dalam pada itu, Weiss mendedahkan ramai pemain utamanya mengalami kecederaan selepas perlawanan pertama yang menyaksikan mereka tewas besar 6-0 kepada Vietnam.

“Kami tewas besar kepada pasukan pilihan Vietnam dan kini banyak pemain mengalami kecederaan dengan beberapa pemain tidak akan diturunkan esok jadi kita akan melihat pemain mana yang ada untuk diturunkan.”

Untuk perlawanan menentang Malaysia esok, beliau memberi bayangan bahawa mereka akan bermain secara bertahan bagi mengelak risiko kekalahan besar berulang lagi.