Berada di kedudukan 25 terbaik Asia, Malaysia perlu terus naikkan ranking, kedudukan di kelayakan Piala Dunia 2026 masih belum selamat

2,413

Malaysia berjaya naik satu anak tangga dalam kemas kini ranking bola sepak baru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam.

Malaysia kini mengutip 1066.60 mata, memintas Hong Kong, selepas sebelum ini hanya berada 0.07 mata dibelakang negara itu.


Dalam kalangan negara Asia pula, Malaysia turut naik satu anak tangga daripada kedudukan 26 ke 25.

Walaupun kenaikan itu tidak banyak, ia adalah amat signifikan terhadap kedudukan negara dalam kelayakan Piala Dunia 2026.

Untuk kelayakan zon Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), pasukan di ranking pertama hingga ke-25 akan diberikan ‘bye’ pada pusingan pertama kelayakan untuk terus bersaing di pusingan kedua.

Berdasarkan ranking ketika ini, terdapat beberapa pasukan yang kuat turut akan bersaing dalam pusingan pertama seperti Kuwait, Indonesia dan Singapura.

Kelayakan Piala Dunia 2026 untuk zon Asia bakal bermula pada Oktober tahun depan, dengan 8.5 slot diberikan kepada pasukan Asia.

Selain daripada kelayakan Piala Dunia, ia juga boleh menentukan kedudukan negara dalam balang untuk kelayakan Piala Asia 2027.

Berdasarkan ranking sekarang, Malaysia akan berada di balang 3 untuk kelayakan Piala Asia 2027.

Namun, masih awal untuk bergembira dengan kejayaan memintas Hong Kong ini kerana negara itu juga berpeluang untuk memintas semula sekiranya Malaysia keciciran mata.

Justeru, momentum haruslah dikekalkan dan harus menjadikan ini sebagai motivasi untuk memintas pasukan yang lebih atas iaitu Turkmenistan dan Filipina untuk berada di posisi yang lebih selamat.

Sementara itu, Vietnam kekal pasukan terbaik di Asia Tenggara, manakala Jepun kini menjadi pasukan di ranking tertinggi di Asia, memintas Iran, selepas kecemerlangan yang ditampilkan dalam Piala Dunia baru-baru ini.

Satu lagi negara di bawah AFC, Australia mencatat peningkatan tertinggi dalam kemas kini ranking kali ini, naik 11 kedudukan di tangga ke-27, kedudukan terbaik mereka sejak 2011.

Untuk ranking keseluruhan pula, walaupun berjaya menjulang Piala Dunia, Argentina sekadar melonjak ke ranking kedua, di belakan Brazil.

Perancis juga turut melonjak satu anak tangga ke kedudukan ketiga, menyaksikan Belgium jatuh ke posisi keempat.