Di Piala Dunia 2022 ada Salt Bae, di Malaysia pula ada ahli parti politik yang suka ‘menyibuk’?

1,813

Tindakan cef selebriti, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae yang turut serta dalam sambutan Piala Dunia 2022 bersama pemain Argentina di atas padang selepas perlawanan akhir baru-baru ini menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan ramai penyokong.

Beliau dilihat ‘menyibuk’ turut bergambar dan memegang serta mengucup trofi tersebut bersama-sama pasukan Argentina yang sedang meraikan kejayaan mereka.


Selepas kecoh perkara itu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengambil tindakan untuk menyiasat insiden tersebut.

Menurut FIFA, keberadaannya di atas padang sepatutnya tidak dibenarkan, dan hanya para pemain dan staf pasukan serta pemimpin daripada negara berkenaan sahaja yang dibenarkan untuk menyentuh trofi tersebut ketika upacara penutup itu.

Menurut wakil FIFA, tindakan dalaman lanjut akan diambil selepas siasatan dijalankan mengenai insiden itu.

Tindakan ‘menumpang’ populariti ini bukanlah satu perkara yang baru dalam dunia sukan, malah di Malaysia sendiri, budaya ‘claim’ apabila seseorang atlet atau pasukan berjaya sudah menjadi lumrah.

Sebagai contoh, ketika KL City FC memenangi Piala Malaysia tahun lalu, terdapat ahli parti politik yang turut bersama-sama menyambur kemenangan itu di atas padang, dan ada juga yang seolah-olah ‘merajuk’ kerana tidak diajak sekali.

Pada Mei tahun ini pula, seorang Exco Negeri Sembilan memberi kredit kepada Menteri Besar atas prestasi baik Negeri Sembilan FC dalam Liga Super.

Imbas kembali, pada tahun 2018, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah mendedahkan bahawa terdapat ahli parti politik yang berebut-rebut mahu mendekati pemain negara selepas berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFF 2018.

Namun kebiasaannya apabila sesebuah kelab atau sesorang atlet itu jatuh, mulalah mahu menuding jari kepada pihak lain.

Sepatutnya, atlet atau pemain dan staf pasukan adalah mereka yang paling berhak meraikan sesuatu kejayaan atas usaha penat lelah mereka.

Mungkin penganjur sukan di negara ini harus mempunyai peraturan seperti FIFA yang hanya membenarkan individu tertentu sahaja untuk meraikan kejayaan bersama atlet.